Shah Alam, Klang, Parit Buntar Tenggelam 2030?
Jangan lupa sertai Tiktok, Youtube, Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini
JUMAAT, 24 Disember 2021 – Menurut Climate Central, sebuah badan bukan kerajaan yang menggabungkan saintis pakar iklim dan alam sekitar serta wartawan berpengalaman, sebahagian besar kawasan di Pantai Barat Semenanjung seperti di Shah Alam, Klang dan Parit Buntar bakal berada di bawah paras banjir tahunan menjelang tahun 2030.
Menurut rajah tersebut, kawasan-kawasan di Shah Alam berhampiran Sungai Klang seperti di Seksyen 36, Seksyen 17 dan Seksyen 25 akan terjejas teruk. Port Klang pula dijangkakan akan ditelan sepenuhnya sehingga ke Bandar Bukit Tinggi. Parit Buntar dan kawasan lain berhampiran Sungai Kerian juga bakal terjejas teruk.
Kajian pakar menunjukkan bahawa krisis iklim menerusi peningkatan paras air laut dan kekerapan ribut akan meningkatkan kekerapan banjir berlaku dan menenggelamkan kawasan-kawasan beraltitud rendah dan berhampiran dengan sungai dan saliran air.
Krisis yang diramalkan bakal berlaku kurang sepuluh tahun dari sekarang ini bakal menelan sebahagian besar kawasan di Kedah, di mana Jitra dijangkakan menjadi ‘pesisir baru’. Sebahagian besar pesisir Melaka seperti di Tanjung Kling, Klebang, Telok Mas dan Merlimau juga bakal berada di bawah paras banjir tahunan.
Kawasan Pantai Timur dijangkakan kurang terjejas jika dibandingkan dengan Pantai Barat, tetapi sebahagian besar pantai di Kelantan berisiko tenggelam.
Kajian terkini dari Climate Central menunjukkan bukan kawasan-kawasan di Malaysia sahaja akan terkesan, tetapi lebih kurang 50 bandar besar di pesisiran pantai seluruh dunia bakal tenggelam.
Berikutan itu, para pengkaji menggesa pihak berwajib untuk melakukan sesuatu bagi menghalang kenaikan paras air di kawasan yang paling padat taburan penduduknya.
Kajian ini adalah hasil penyelidikan bersama antara pakar penyelidik dari Princeton University dan Potsdam Institute for Climate Impact Research di Jerman.