Isytihar Darurat Bencana Di Kawasan Terjejas Banjir – Menteri Besar Kedah
Jangan lupa sertai TikTok, YouTube, Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini.
BALING, 05 Julai 2022 – Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor berharap agar kawasan-kawasan yang terjejas di Baling, Kedah diisytihar sebagai Darurat Bencana Tahap I dan II.
Lapor Sinar Harian, Sanusi berkata, pengisytiharan tersebut sangat penting agar operasi bantuan daripada agensi negeri dan Persekutuan dapat disalurkan dengan segera menerusi bajet yang sedia ada.
“Menurut Arahan MKN20, kuasa mengisytiharkan Darurat Bencana (Tahap III) terletak di tangan Perdana Menteri atas nasihat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Pusat (JPBP). Bagi Darurat Bencana Tahap I, ia boleh diisytiharkan oleh Pegawai Daerah selaku Pengarah JPBP,” ujarnya.
Walau bagaimanapun, menurut beliau perkara tersebut akan diputuskan dalam mesyuarat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) yang dipengerusikan oleh Setiausaha Kerajaan Negeri Kedah yang juga Pengarah JPBN, Datuk Ammar Shaikh Mahmood Naim.
Semalam, hujan lebat tanpa henti selama 3 jam telah melanda daerah Baling sehingga menyebabkan dua buah kampung iaitu Kampung Iboi dan Kampung Tanjung Luas di Mukim Kupang, Baling ditenggelami banjir.
Berdasarkan maklumat dari pihak Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS), taburan hujan yang disukat di kesemua pusat cerapan sepanjang sungai menunjukkan kapasiti hujan yang banyak sekaligus mengakibatkan air sungai melimpah, lapor akhbar berkenaan.
Tragedi itu mengorbankan tiga beranak di mana dua daripadanya ditemui berpelukan oleh anggota bomba di bawah timbunan batang pokok berhampiran Sungai Iboi manakala seorang lagi ditemui di bawah timbunan kayu tidak jauh dari lokasi dua beranak berkenaan ditemukan.