Tempatan

Alasan Banjir, Harga Sayur Meroket Naik, Peminat Tomyam Terjejas

Jangan lupa sertai TikTok, YouTube, Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini.

Jangan lupa sertai Tiktok, Youtube, Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini.

KUALA TERENGGANU, 16 Disember 2022 – Berikutan bencana banjir yang melanda beberapa negeri ketika ini, harga sayur-sayuran di Terengganu terus melonjak naik sekali gus menjejaskan peminat menu banyak sayuran seperti tomyam.

Portal tempatan melaporkan, harga sayur di beberapa pasar sekitar daerah di Terengganu dinaikkan sekali ganda susulan harga yang diperoleh penjual dari pemborong sudah mahal.

Antara sayur yang naik mendadak ialah bayam dijual RM14 sekilogram berbanding hanya RM6 sebelum ini, tomato (RM6.50/kg), kacang panjang (RM10/kg) dan kailan dijual pada harga RM10 sekilogram berbanding RM7 sebelum ini.

Seorang peniaga dari Pasar Bukit Besar berkata, kebanyakan pembeli terkejut dengan kenaikan harga sayur yang mendadak.

“Untuk peminat tomyam misalnya, memang akan terasa kerana daun ketumbar naik antara RM40 hingga RM45 sekilo, begitu juga daun sup naik antara RM20 hingga RM25. Saya pun terpaksa mengurangkan kuantiti sayur-sayuran yang dijual kerana risau tidak laku dijual,” ujarnya.

Sementara itu, Mohd. Yazid Ibrahim, peniaga di Pasar Chabang Tiga pula berasa serba salah mahu menjual sayur-sayuran tersebut kerana kasihan akan pelanggan yang perlu membelinya pada harga tinggi.

“Saya kena terangkan kepada pembeli bahawa banyak sayur ni datang dari negeri-negeri luar. Bila berlaku banjir, banyak kawasan terjejas dan pengeluaran terhad sedangkan permintaan tinggi, sebab itu harganya mahal. Ada pembeli yang merungut juga tapi terpaksa kerana sayur-sayuran sangat diperlukan dalam diet harian semua orang,” jelasnya.

Mengulas lanjut, seorang pembeli, Nur Ain Hanis Haizi pula mengambil inisiatif menggantikan sayur kepada ulam-ulaman kerana harganya yang terlalu tinggi. Katanya, ulam lebih murah kerana hanya dijual orang kampung seperti pucuk pegaga, pucuk gajus dan daun selom.

Leave a Reply

Back to top button
%d bloggers like this: