Tempatan

Banjir: Polis Beri Amaran Jangan Tular Gambar, Video Lama

Jangan lupa sertai TikTok, YouTube, Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini.

KUALA NERUS, 21 November 2023 – Polis mengeluarkan amaran kepada orang ramai agar tidak menyebarkan semula gambar serta video lama kejadian banjir atau bencana sehingga menimbulkan panik dalam kalangan orang awam.

Ketua Polis Terengganu Datuk Mazli Mazlan berkata, pihaknya tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang cuba menggugat ketenteraman awam.

“Mana-mana individu yang melakukan kesalahan boleh didakwa mengikut Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 yang boleh didenda maksimum RM50,000 atau dipenjara setahun atau kedua-duanya sekali.”

Mazli berkata demikian ketika ditemui selepas meninjau mangsa banjir di PPS Dewan Serbaguna Tok Jembal.

Dalam pada itu, Mazli turut menasihatkan orang ramai agar segera berpindah ke pusat pemindahan sementara (PPS) jika cuaca buruk berterusan.

Menurut beliau, langkah berpindah segera ke PPS yang disediakan perlu diambil bagi mengelak berlaku insiden membahayakan nyawa sekiranya mangsa banjir mengambil pendekatan tunggu dan lihat.

Sementara itu, Mazli juga mengingatkan kepada ibu bapa atau penjaga agar sentiasa berwaspada dan menjaga keselamatan anak-anak kecil bagi mengelak kejadian meragut nyawa.

Ketika ini, situasi banjir di Terengganu yang masuk hari kedua, bertambah buruk dengan mangsa terjejas meningkat kepada 1,431 orang daripada 400 keluarga.

Setakat pukul 8 pagi tadi, sebanyak 14 PPS telah dibuka di empat daerah iaitu tujuh di Kuala Nerus, Kuala Terengganu (empat), Setiu (dua) dan Marang (satu).

Cuaca buruk di Terengganu dijangka berterusan sehingga lusa berdasarkan amaran dikeluarkan Jabatan Meteorologi (MET Malaysia), semalam.

Leave a Reply

Back to top button
%d bloggers like this: