Tempatan

Banjir : Rantau Panjang Bertukar Lautan

Jangan lupa sertai TikTok, YouTube, Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini.

RANTAU PANJANG, 27 Disember 2023 – Banjir di Rantau Panjang direkodkan sebagai terburuk dalam sejarah apabila hampir 90 peratus kawasan di sini digenangi air susulan banjir gelombang ketiga, sejak tiga hari lalu.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Kelantan, Zainal@Jainal Madasin, berkata bah kali ini sangat luar biasa jika dibandingkan dengan tahun 2014 lalu apabila seluruh daratan di sini bertukar menjadi ‘lautan’ apabila hampir semua kampung ditenggelami air.

Katanya, air Sungai Golok dilaporkan berada pada paras tertinggi dalam tempoh sembilan tahun dengan bacaan 11.03 meter (m), pada Isnin.

Malah, beberapa jalan utama untuk ke Rantau Panjang juga turut ditenggelami air dengan paras tinggi dan hanya boleh dilalui kenderaan berat sahaja.

“Kami juga difahamkan paras air Sungai Golok mencatat bacaan tertinggi berbanding tahun sebelum ini dengan bacaan paras air melebihi bacaan 11 meter. Kesannya, beberapa penempatan yang sebelum ini tidak menerima limpahan air turut terjejas.”

Bagaimanapun keadaan masih terkawal dengan kerjasama pihak bomba serta agensi lain seperti Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Pertahanan Awam (APM) dan Pasukan Mencari dan Menyelamat Khas Malaysia (SMART).

“Pihak Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kelantan bersiap siaga 24 jam membantu mangsa banjir bukan sahaja di jajahan Pasir Mas, malah beberapa daerah lain seperti Kuala Krai, Machang dan Gua Musang yang turut dilanda banjir,” katanya ketika ditemui selepas turun padang membuat pemantauan di pekan Rantau Panjang, semalam.

Leave a Reply

Back to top button
%d bloggers like this: