PLUS Buka Semula Plaza Tol Dan Persimpangan Bertingkat Shah Alam Kepada Trafik
Jangan lupa sertai Tiktok, Youtube, Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini
SHAH ALAM, 20 Disember 2021 – PLUS memaklumkan Plaza Tol dan Persimpangan Bertingkat Shah Alam kini dibuka semula secara berperingkat kepada semua pelanggan lebuh raya.
“Laluan yang terjejas kini telah dibuka secara berperingkat. Namun, kami menasihati para pelanggan untuk tetap berhati-hati dan mematuhi papan tanda amaran kerana masih ada beberapa bahagian jalan yang masih ditakungi air banjir,” ujar Datuk Zakaria Ahmad Zabidi, Ketua Pegawai Operasi PLUS Malaysia Berhad.
Kata beliau lagi, memandangkan paras air banjir yang telah surut, pihak PLUS segera menjalankan kerja-kerja pembersihan, pengalihan kenderaan yang terkandas, pemeriksaan menyeluruh dan kerja pembaikan ke atas aset lebuh raya serta peralatan tol yang rosak disebabkan oleh air banjir.
Dalam kenyataan rasmi itu juga pihak PLUS mengucapkan syukur dan terima kasih kepada mereka yang terlibat membantu pelanggan lebuh raya yang terkandas.
“PLUS bersyukur dan ingin mengucapkan terima kasih di atas sokongan semua pihak termasuk Lembaga Lebuhraya Malaysia, Polis DiRaja Malaysia, Jabatan Bomba dan Penyelamat, Jabatan Pertahanan Awam, serta semua agensi-agensi lain dan orang perseorangan yang terlibat dalam misi menyelamat dan memindahkan pelanggan lebuh raya yang terkandas, terutamanya mereka yang telah memberikan kerjasama demi memastikan operasi menyelamat berjalan lancar. Kesabaran mereka telah membantu memastikan keselamatan serta keselesaan semua kekal menjadi keutamaan PLUS.”
Berikutan banjir yang berlaku, PLUS menasihatkan agar pelanggan lebuh raya menyemak status banjir semasa dan memastikan kenderaan berada dalam keadaan baik sebelum memulakan perjalanan.
Pelanggan juga dinasihatkan untuk mendapatkan maklumat trafik terkini di laman web PLUS, www.plus.com.my dan platform media sosial termasuk Facebook PLUS Malaysia dan Twitter PLUSTrafik serta PLUS App.