Lombong Emas Baharu Madinah Bakal Bawa Pelaburan Bernilai RM2.4 Trilion
Jangan lupa sertai Tiktok, Youtube, Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini.
MADINAH, 19 September 2022 – Lombong emas baharu yang ditemui di Madinah baru-baru ini dianggarkan boleh membawa pelaburan bernilai USD533 juta bersamaan RM2.4 trilion, lapor agensi media tempatan.
Kerajaan Arab Saudi telah mengumumkan penemuan tapak perlombongan baharu yang mengandungi emas dan tembaga di Madinah, di mana emas ditemukan dalam sempadan kawasan Aba al-Raha, Umm al-Barrak Hejaz manakala tembaga dikesan di empat kawasan di Wadi al-Faraa yang juga terletak di Madinah.
Penemuan tersebut bukan sahaja menambah senarai penemuan Arab Saudi pada tahun ini, malah ia akan mempercepatkan kadar pelaburan perlombongan, menarik kemasukan pelabur domestik dan antarabangsa sekali gus menyumbang kepada pembangunan ekonomi Arab Saudi.
Selain anggaran pelaburan bernilai RM2.4 trilion, lokasi tersebut juga bakal menawarkan lebih 4,000 peluang pekerjaan.
Jun lalu, Putera Mahkota Arab Saudi, Putera Mohammed bin Salman mengumumkan bahawa negara itu mengutamakan sektor penyelidikan termasuk pembangunan mampan dalam perlombongan.
Negara tersebut mempunyai sekurang-kurangnya 5,300 lokasi mineral berharga, sama ada dalam bentuk logam atau bukan logam, bahan binaan, batu hiasan dan juga batu permata.