Lahad Datu Digemparkan Dengan Fenomena Letusan Lumpur Gunung Berapi
Jangan lupa sertai TikTok, YouTube, Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini.
LAHAD DATU, 19 September 2022 – Tular satu fenomena yang luar biasa, sebuah gunung berapi lumpur di Taman Hidupan Liar Tabin, Lahad Datu memuntahkan lumpur dalam jumlah yang banyak pada Ahad lalu.
Kejadian yang jarang berlaku itu berlaku sekitar jam 10 pagi dengan ketinggian 20 kaki.
Seorang individu yang kebetulan berada di lokasi berkenaan bertindak merakam kejadian tersebut sebelum memuat naik video tersebut di Facebook miliknya.
Kebanyakan netizen berasa takjub dengan fenomena tersebut dan ada juga mengaitkannya dengan bencana gempa bumi kerana insiden gegaran semula jadi tersebut sudah sering terjadi di Sabah khususnya selepas kejadian gempa bumi sederhana bermagnitud 5.9 skala Richter berpusat di Gunung Kinabalu pada tahun 2015 yang lalu.
Namun, Pakar Geologi Sabah, Profesor Dr Felix Tongkul menjelaskan fenomena tersebut bukanlah sesuatu yang luar biasa kerana perkara itu sebenarnya sering terjadi.
“Keadaan ini berulang bila tekanan terkumpul pada sesuatu masa tertentu. Kejadian volkano lumpur seperti ini (lebih aktif) kadang-kadang berlaku semasa kejadian gempa bumi,” jelasnya.