Antarabangsa

Tweet Anti Muslim Tahap Epidemik Datang Dari AS, UK & India

Jangan lupa sertai Tiktok, Youtube, Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini.

INDIA, 19 September 2022 – Kandungan anti Muslim sudah berada di tahap epidemik apabila tiga buah negara iaitu Amerika Syarikat (AS), United Kingdom (UK) dan India mencatatkan hantaran anti Muslim tertinggi di laman Twitter, menurut sebuah portal antarabangsa.

Menurut portal berkenaan, negara-negara itu mencatatkan setinggi 86 peratus kandungan anti Muslim di laman sosial tersebut pada tahun 2017 hingga 2019 yang majoriti hantarannya memaparkan serangan fizikal kepada umat Islam dan masjid.

Biarpun pada tahun lalu pihak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) menggesa komuniti antarabangsa untuk mengambil langkah yang sepatutnya terhadap diskriminasi tersebut, namun pihak lembaga eksekutif syarikat media sosial berkenaan seolah-olah ‘memekakkan’ telinga dengan diskriminasi tersebut.

Hal ini kerana, tiada sebarang tindakan yang diambil untuk mengeluarkan kandungan anti Muslim itu daripada platform mereka.

Ketiadaan tindakan itu secara tidak langsung akan memberi kesan buruk kepada komuniti Muslim minoriti di seluruh dunia di mana laman sosial tersebut digunakan sebagai medium untuk mereka yang membenci Islam menyebarkan dan menyemarakkan lagi kebencian anti Muslim.

Menurut kajian daripada Majlis Islam Victoria (ICV), sebanyak empat juta hantaran anti Muslim dibuat dalam tempoh 24 bulan iaitu antara 2017 hingga 2019.

Bukan itu sahaja, ICV turut menyatakan bahawa terdapat kitaran kebencian yang ganas terhadap komuniti Muslim di seluruh dunia sama ada dalam talian atau luar talian.

Berdasarkan analisis yang dilakukan terhadap hantaran daripada ketiga-tiga negara itu, penyelidik mendapati perkara utama yang disentuh mengenai Islam termasuklah kaitan antara Islam dengan pengganas, gambaran bahawa umat Islam sebagai pelaku keganasan seksual, ketakutan bahawa Muslim akan melaksanakan Syariah kepada orang lain, konspirasi yang mendakwa bahawa imigran Islam akan menggantikan orang kulit putih di Barat dan Hindu di India serta pencirian halal sebagai amalan yang tidak berperikemanusiaan yang juga dianggap ‘kejam’.

Susulan itu, portal berkenaan menyeru agar syarikat media sosial berkenaan memberi perhatian terhadap pengguna daripada tiga buah negara tersebut yang tersebut bagi memerangi diskriminasi terhadap umat Islam.

Leave a Reply

Back to top button