Tempatan

Data 22 Juta Rakyat Terdedah, Kerajaan Digesa Semak Sistem Keselamatan

Jangan lupa sertai Tiktok, Youtube, Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini.

KUALA LUMPUR, 19 Mei 2022 – Kerajaan digesa untuk menyemak semula keberkesanan sistem keselamatan bagi penyimpanan data peribadi berikutan dakwaan penjualan data tersebut yang melibatkan 22 juta rakyat Malaysia.

Demikian kenyataan yang dikeluarkan Syahredzan Johan, Pengerusi Biro Media Sosial Parti Tindakan Demokratik (DAP) baru-baru ini.

Penjualan data berkenaan dilaporkan berlaku secara atas talian dan maklumat diperolehi daripada pangkalan data Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) dan laman sesawang Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

“Ini bukan kali pertama data peribadi rakyat Malaysia ditawarkan untuk dijual kepada umum,” kata Syahredzan.

Ulasnya, perkara itu sudah tentu akan menimbulkan keresahan dan kerisauan di kalangan orang awam. Sekiranya benar terdapat kebocoran maklumat, ia merupakan suatu pelanggaran keselamatan (security breach) yang serius dan orang ramai lebih terdedah kepada pelbagai risiko termasuk penipuan dan kecurian identiti.

Tambah Syahredzan, kerajaan tidak boleh memandang enteng terhadap dakwaan seperti ini kerana ia melibatkan keyakinan orang awam terhadap keselamatan dan integriti data yang disimpan dalam pangkalan data badan-badan awam.

Beliau turut menggesa pihak berkuasa untuk menjalankan siasatan yang telus dan teliti mengenai hal tersebut.

September tahun lalu, terdapat dakwaan berlakunya kebocoran data peribadi yang terkandung dalam pangkalan data JPN dan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) melibatkan sebanyak 4 juta data.

Leave a Reply

Back to top button