Penekanan Budaya Dan Agama Satu Etnik Punca Sekolah Kebangsaan ‘Ditinggalkan’ – P Ramasamy
Jangan lupa sertai TikTok, YouTube, Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini.
KUALA LUMPUR, 19 September 2022 – “Bukan ketiadaan kualiti pendidikan semata-mata tetapi penekanan kepada ciri budaya dan agama satu komuniti etnik yang menyebabkan pendidikan sekolah kebangsaan tidak kondusif kepada segmen etnik lain – sehinggakan kemasukan kanak-kanak bukan Melayu ke peringkat sekolah kebangsaan mungkin telah merosot selama ini.”
Timbalan Ketua Menteri II Pulau Pinang, Profesor Dr P. Ramasamy berkata sedemikian bagi menjawab dakwaan Ahli Parlimen Setiawangsa, Nik Nazmi Nik Ahmad mengenai sistem pendidikan negara yang telah dipecahbelahkan oleh sekolah antarabangsa.
Ramasamy menafikan bahawa kemerosotan sekolah kebangsaan dan menjadi tidak popular adalah berpunca dari kewujudan sekolah antarabangsa.
Beliau mengatakan bahawa sekolah kebangsaan terlalu tertumpu kepada pendidikan akademik dan lulus peperiksaan sahaja dan ia menjadi alasan mengapa terdapat ibu bapa berpandangan, pendidikan di sekolah antarabangsa mungkin menyediakan pendidikan yang lebih holistik berbanding sekolah kebangsaan.
Timbalan Ketua Menteri II Pulau Pinang itu bersetuju bahawa kualiti pendidikan di sekolah kebangsaan boleh dipertingkatkan lagi dalam memastikan ianya kekal berbilang kaum dan memenuhi keperluan rakyat Malaysia tanpa mengira kaum atau agama.
Namun, perkara itu tidak dilakukan sejak berdekad lalu sehingga membawa kepada kemerosotan kualiti pendidikan di sekolah kebangsaan.
“Bukan semua ibu bapa Malaysia boleh menghantar anak mereka ke sekolah antarabangsa. Malah, sebahagian besar kanak-kanak tempatan pergi ke sekolah kebangsaan atau awam.”
Memilih pendidikan di sekolah antarabangsa adalah di luar jangkauan kewangan ramai ibu bapa. Ia benar-benar persoalan kemampuan untuk menghantar anak-anak mereka ke sekolah antarabangsa.”