Antarabangsa

Gua Firaun Ramses II Berusia 3,300 Tahun Ditemui Di Tel Aviv

Jangan lupa sertai Tiktok, Youtube, Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini.

TEL AVIV, 19 September 2022 – Gua peninggalan zaman Firaun Ramses II yang dipercayai berusia 3,300 tahun ditemui di Taman Negara Palmachim, selatan Tel Aviv, lapor sebuah media antarabangsa.

Lapor media berkenaan, pelbagai jenis barang ditemui dipercayai dari Zaman Lewat Gangsa yang juga sewaktu atau hampir dengan zaman pemerintahan Ramses II.

“Sungguh menakjubkan,” kata Pihak Berkuasa Kepurbaan Israel (IAA), Uzi Rothschild.

Gua itu dikesan apabila cahaya menembusi ke sebuah ruangan sedalam lapan kaki di bawah tanah menerusi batu yang teralih sewaktu kerja pembinaan sedang dijalankan.

“Ini adalah penemuan sekali seumur hidup! Bukan setiap hari anda berjalan ke set Indiana Jones – sebuah gua dengan peralatan di atas lantai yang tidak pernah disentuh selama 3,300 tahun,” kata pakar Zaman Gangsa IAA, Eli Yannai.

Penemuan gua itu turut membawa kepada penemuan berpuluh-puluh bekas tembikar yang berbeza saiz dan bentuk seperti mangkuk yang sebahagiannya dicat merah dan mempunyai pemegang; periuk memasak; jag dan lampu minyak tanah liat yang masih mempunyai sumbu yang pernah dibakar.

Menurut Yannai, beliau percaya bahawa tembikar yang ditemui dalam gua berkenaan diimport dari Lubnan, Syria dan Cyprus di mana ia sering digunakan untuk acara pengebumian pada zaman itu.

Namun begitu, beberapa barangan telah dicuri sebelum gua itu ditutup, menurut Ketua IAA, Eli Eskozido.

“Sejurus sebelum gua ditutup dan walaupun ia sudah dijaga, beberapa barangan arkeologi telah dicuri daripada gua itu dan ia masih dalam siasatan,” katanya.

Kata IAA, perbincangan sedang dilakukan bersama beberapa buah universiti lain untuk melakukan penggalian penuh ke atas gua itu.

Leave a Reply

Back to top button