Tempatan

Sungai Dikawal Gengster Babi, Penternak Babi Haram Kebal & ‘Berdaulat’

Jangan lupa sertai TikTok, YouTube, Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini.

PORT DICKSON, 15 September 2022 – “Penduduk mendakwa terdapat kawasan sungai yang dikawal gengster dan wartawan menemui aliran air longkang warna merah terus ke Sungai Rambai dipercayai berpunca dari ladang ternakan babi secara haram,” lapor sebuah akhbar tempatan susulan hasil ujian yang mendedahkan bahawa Sungai Rambai di Lukut, Port Dickson, disahkan mengandungi DNA babi.

Mengulas mengenai perkara ini, Presiden Persatuan Pencinta Alam Malaysia (MNS), Profesor Dr Ahmad Ismail berkata, pihak berkuasa digesa mengambil tindakan segera jika aktiviti penternakan babi secara haram terbukti wujud di kawasan tersebut.

Hal ini kerana, jika tidak, ia akan mendatangkan kesan buruk kepada masyarakat sekitar selain memburukkan lagi tahap pencemaran air Sungai Rambai.

“Kes pencemaran yang berlaku di Sungai Sepang Besar, Bagan Lalang, Selangor dan Sungai Bukit Pelanduk, Negeri Sembilan tidak lama dahulu sepatutnya jadi pengajaran,” tegas beliau.

“Sungai-sungai itu juga tercemar teruk dengan sisa kumbahan dari ladang khinzir,” katanya lagi.

Oleh yang demikian, Dr Ahmad menggesa semua pihak terutamanya masyarakat tempatan untuk membuat laporan kepada pihak berkuasa sekiranya berlaku kes pencemaran sungai di kawasan penempatan mereka walaupun ada gengster yang mengawal sungai terbabit.

“Masyarakat tidak perlu takut kerana maklumat pelapor adalah dirahsiakan,” ujar beliau.

Baru-baru ini analisis makmal mengesahkan bahawa air berwarna merah di dalam longkang yang mengalir ke Sungai Rambai di Lukut, Port Dickson, Negeri Sembilan, mengandungi DNA babi.

“Kehadiran DNA babi membuktikan Sungai Rambai tercemar dengan najis atau darah haiwan berkenaan walaupun ujian berkenaan belum diakreditasi mengikut keperluan ISO 17025,” kata Ketua Makmal Institut Penyelidikan dan Latihan Halal Antarabangsa (INHART), Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Dr Muhamad Shirwan Abdullah Sani.

Leave a Reply

Back to top button
%d bloggers like this: