Kasino Pulau Pinang: Masukkan Dalam Manifesto PN – Baljit Singh
Jangan lupa sertai Tiktok, Youtube, Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini.
PULAU PINANG, 14 September 2022 – Datuk Baljit Singh, Naib Presiden Parti Gerakan Rakyat Malaysia (Gerakan), melalui sebuah hantaran di laman Facebook beliau telah mencadangkan supaya Perikatan Nasional (PN) patut pertimbangkan usul membina kasino di Pulau Pinang sebagai sebahagian dari manifesto gabungan tersebut.
“Biar warga Penang tentukan! Biar rakyat tentukan sama ada mahu membina sebuah kasino di Penang! Saya rasa PN juga perlu mempertimbangkan untuk memasukkan perkara ini dalam manifesto pilihan raya dalam pilihanraya umum akan datang,” ujarnya.
Beliau turut menyatakan bahawa beliau percaya yang khabar angin bahawa pembinaan kasino di Pulau Jerejak kekal sebagai sebuah khabar angin kerana kerajaan ketika itu mempertimbangkan aspek “bangsa dan agama”.
“Membina sebuah kasino baharu bukan sahaja sebuah lonjakan ekonomi, tetapi ianya juga sebuah lonjakan pemikiran. Ya, kita patut terbebas dari kekangan ‘etnik dan keagamaan’ yang sekian lama ada, dan lihat kepada sebuah pelan atau dasar secara rasional,” jelasnya lagi.
Jelasnya, sekiranya kasino bertaraf dunia, “seperti di Las Vegas” dibina, ia akan menjana perkembangan industri pelancongan, infrastruktur dan menyediakan peluang pekerjaan di Pulau Pinang.
“Adakah membina kasino di penang akan menjadi sebuah ‘game changer’? Biar warga Penang tentukan kali ini!” ujar beliau mengakhiri hantarannya tersebut.