Tempatan

Kadar Curahan Hujan Makin Meningkat, Risiko Banjir Kilat Oktober Ini

Jangan lupa sertai Tiktok, Youtube, Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini.

PETALING JAYA, 11 Oktober 2022 – Pantai Barat Semenanjung Malaysia dijangkakan berisiko banjir kilat pada bulan ini berikutan kadar curahan hujan diramalkan meningkat berbanding bulan lain, kata Pengerusi Jabatan Sains Bumi dan Alam Sekitar Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Profesor Dr Fredolin Tangang.

“April, Mei, September dan Oktober adalah fasa peralihan monsun. Oleh itu, apabila dilihat kitaran tahunan hujan, sememangnya tempoh (April, Mei, September dan Oktober) itu memang tinggi (kadar curahan hujan).”

Sebelum ini, Jabatan Meteorologi Malaysia (METMalaysia) melaporkan kebanyakan negeri di Semenanjung menerima taburan hujan pada paras purata di antara 150mm hingga 450mm berdasarkan tinjauan cuaca yang dilaksanakan baru-baru ini.

Dalam pada itu, Agensi Pengurusan Bencana (NADMA) memaklumkan, Pusat Hidrografi Nasional meramalkan fenomena air pasang besar dijangka berlaku di lima tempat membabitkan kawasan di Kedah, Perak, Selangor dan Johor.

Fenomena itu dijangka berlaku selama tujuh hari bermula sehingga 13 Oktober ini di sekitar Kuala Muda, Bagan Datuk, Pelabuhan Klang, Batu Pahat dan Pontian.

Menurut perkongsian itu, fenomena itu berpunca daripada pengaruh daya tarikan graviti ketika kedudukan bulan dan matahari sejajar, seterusnya berkemungkinan menyebabkan limpahan air di daratan serta banjir di lokaliti kawasan rendah pesisir pantai.

Justeru, penduduk berhampiran pesisir pantai disaran agar lebih peka dan berwaspada berdepan semasa fenomena ini berlaku.

Semalam, beberapa kawasan di Melaka, Baling, Sabah dan Sarawak dilanda banjir kilat susulan hujan lebat.

Beberapa daerah di Sarawak pula berada dalam keadaan berjaga-jaga dan bahaya susulan kenaikan paras air akibat hujan berterusan sejak semalam. Tiga daerah terlibat ialah Kapit, Miri dan Sibu.

Leave a Reply

Back to top button
%d bloggers like this: