NGO

Tamat Darurat: Pentingnya Tafsiran Perlembagaan Persekutuan Yang Jelas & Tepat- MAMPIR

Jangan lupa sertai TikTok, YouTube, Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini.

Jangan lupa sertai Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini

KENYATAAN MEDIA

MENYATAKAN KESETIAAN KEPADA SERI PADUKA BAGINDA YANG DI-PERTUAN AGONG SEBAGAI KETUA UTAMA NEGARA YANG MEMAYUNGI KESTABILAN DAN KEAMANAN NEGARA.

1. MAMPIR merujuk kepada kenyataan berkaitan isu pembatalan Ordinan Darurat yang telah dikeluarkan oleh pihak Istana Negara bertarikh 29 Julai 2021, kenyataan media pejabat Perdana Menteri bertarikh 29 Julai 2021 dan warkah titah Seri Paduka Baginda YDPA bertarikh 29 Julai 2021 yang mula tular pada 30 Julai 2021. Susulan itu MAMPIR turut mengamati komentar ahli-ahli politik, agamawan, netizen dan juga kupasan beberapa orang pakar bidang Perundangan dan Perlembagaan.

2. Meneliti “basic structures” (struktur asas) Perlembagaan Persekutuan Malaysia, memperhalusi Perkara-perkara 39, 43, 44, 66, 121(1) , 150 dan perkara-perkara lain dalam Perlembagaan Persekutuan, ternyata amalan pemisahan cabang kuasa amat penting bagi menjamin proses “check and balance” (semak imbang) bagi pemerintahan Negara berjalan dengan sempurna. Perkara-perkara tersebut secara jelas menghuraikan tentang fungsi kuasa Seri Paduka Baginda YDPA dalam bidang Eksekutif, Legislatif (Perundangan) dan Judisiari (Kehakiman).

3. MAMPIR juga mendapati kekeliruan yang masih menyelubungi sebahagian besar masyarakat termasuk ahli politik dan agamawan terhadap struktur asas Negara dan pentafsiran Perlembagaan Persekutuan berlaku kerana pengabaian kepada “jurisprudence” ( fiqh dalam teori asas Kedaulatan dan falsafah undang-undang) berlandaskan Watan merangkumi sejarah, sosiobudaya, agama dan amalan perundangan di Tanah Melayu. Akibatnya telah terbentuk persepsi yang kurang tepat terhadap kedudukan Seri Paduka Tuanku Raja-Raja Melayu.

4. MAMPIR berpandangan isu kontroversi perundangan yang berlaku mengisyaratkan betapa pentingnya tafsiran Perlembagaan Persekutuan yang jelas, tepat dan tegas oleh pakar-pakar bidang yang berotoriti agar tidak mudah dimanipulasi oleh mana-mana pihak yang berkepentingan dan dapat menjamin Keluhuran Perlembagaan itu sendiri. Justeru, Badan Kehakiman diseru untuk melaksanakan kuasa semakan dengan pemakaian prinsip struktur asas berteraskan Watan negara ini agar jati diri Malaysia yang diwarisi melalui sejarah perundangan ratusan tahun terus terpelihara.

5.MAMPIR secara konsisten menegaskan kepentingan pemerkasaan Institusi Raja-Raja khasnya prerogatif Seri Paduka Baginda YDPA sebagai paksi kuasa dan keseimbangan pemerintahan Negara. Kedaulatan Raja-Raja adalah tonggak keadilan, kestabilan dan keamanan Negara. Kesetiaan, kejujuran dan kebijaksanaan ahli-ahli Eksekutif, Kehakiman dan Perundangan dalam menjalankan amanah Seri Paduka Baginda dan Raja-Raja Melayu adalah tonggak kesejahteraan dan kemakmuran Negara. Manakala ketaatan , kepatuhan dan kebersamaan rakyat adalah teras kekuatan Raja Raja, Pentadbir dan Negara.

DAULAT TUANKU!

Sekretariat
MUWASOLAH AGAMAWAN DAN AKTIVIS MEMPERKASA INSTITUSI RAJA-RAJA (MAMPIR)

*Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan Samudera.my*

Leave a Reply

Back to top button
%d bloggers like this: