Tempatan

Persatuan Peguam Muslim Malaysia Dibenarkan Jadi Pencelah Dalam Kes Nasihat Hak YDPA Tolak Nasihat Darurat

KUALA LUMPUR – Presiden Persatuan Peguam-Peguam Muslim Malaysia (PPMM), Datuk Zainul Rijal Abu Bakar hari ini menzahirkan rasa syukur di laman Facebook beliau setelah Mahkamah Tinggi meluluskan permohonan PPMM untuk mencelah dalam kes saman pemula terhadap kerajaan di mana Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah mempunyai budi bicara menolak nasihat Perdana Menteri dalam isu perisytiharan darurat atau tidak.

“Alhamdulillah hari ini permohonan Persatuan Peguam-Peguam Muslim Malaysia (PPMM) untuk mencelah di dalam kes yang difailkan oleh peguam, Syed Iskandar Syed Jaafar yang menuntut penentuan mahkamah sama ada YDPA mempunyai kuasa menolak nasihat Perdana Menteri dalam isu darurat telah dibenarkan oleh Mahkamah Tinggi.”

Beliau juga berterima kasih kepada Peguam Cara PPMM Tetuan Amelda Fuad Abi dan Tuan Aidil Khalid yang mewakili PPMM dalam pencelahan kes.

“Terima kasih kepada Peguam Cara PPMM Tetuan Amelda Fuad Abi & Aidil khususnya kepada Tuan Aidil Khalid kerana mewakili PPMM.”

Datuk Zainul Rijal memberitahu bahawa PPMM melalui Setiausaha Agongnya, Ridha Abdah Subri dinamakan sebagai Defendan Kedua, dan permohonan Khairul Azam, Malcolm Fernandez dan Nazira Abdul Rahim juga dibenarkan di mana masing-masing dijadikan Defendan Ketiga, Keempat dan Kelima.

Syed Iskandar Syed Jaafar yang merupakan seorang peguam telah memfailkan saman pemula pada 30 Oktober 2020 berhubung keputusan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah yang tidak bertindak atas nasihat Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin untuk mengisytiharkan darurat pada 24 Oktober 2020 yang lalu.

Saman itu difailkan di pejabat Pendaftaran Mahkamah Tinggi di sini, menerusi Tetuan R Kengadharan & Co dengan menamakan kerajaan sebagai defendan.

Leave a Reply

Related Articles

Back to top button