Tempatan

Darurat: Elak Situasi Tikus Baiki Labu – Azlinda Baroni

Jangan lupa sertai TikTok, YouTube, Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini.

KUALA LUMPUR – “Pendirian saya ialah kekacauan politik sekarang ini sudah semakin parah dan tidak berpaksi kepada keluhuran Perlembagaan dan kedaulatan undang-undang menurut Rukunegara dan sememangnya telah melanggar asas kenegaraan negara kita.”

“Dengan ditambah ancaman pandemik kepada kesihatan rakyat maka, perlulah Institusi Diraja kita meneliti kedudukan ini serta menilai semula keberkesanan tampuk pentadbiran negara yang dilepaskan kepada pemain politik tanpa sebarang kepertanggungjawaban di sisi undang-undang Perlembagaan negara. Kita tidak mahu situasi seumpama si tikus membaiki labu terus berlaku.”

Demikian kenyataan dari Puan Azlinda Baroni, Ketua Kluster Wanita PEMBELA apabila diajukan soalan mengenai pihak yang cuba menentang darurat dan mengkucar-kacirkan keadaan.

Bagi mematahkan kegiatan yang disifatkannya sebagai subversif ini, Puan Azlinda yang juga merupakan seorang peguam mencadangkan agar satu undang-undang khas darurat diwujudkan demi keamanan dan keselamatan negara dan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) dikembalikan.

“Cadangan saya bagi menangani situasi-situasi yang berunsur subversif ini, satu undang-undang khas darurat bagi mematahkan kegiatan-kegiatan subversif tersebut hendaklah segera digubal sebelum keadaan dalam negara menjadi lebih tidak aman.”

“Selanjutnya, Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) hendaklah dikembalikan. Instrumen perundangan ini amat kritikal bagi menjamin keselamatan dalam negara tidak diperkotak-katikkan sewenang-wenangnya oleh pihak-pihak yang mempunyai agenda tertentu terutamanya kegiatan-kegiatan subversif yang akan mengancam keselamatan dalam negara.”

Menyentuh mengenai kemunculan kumpulan yang sekarang ini sedang giat menanam persepsi anti-Yang di-Pertuan Agong (YDPA) ke dalam minda rakyat, Puan Azlinda menyeru agar pihak berkuasa segera mengambil tindakan terhadap mereka yang terbabit dalam penderhakaan yang tinggi ini.

“Pada keadaan seperti ini, dalam keadaan darurat, pihak berkuasa hendaklah melaksanakan tindakan undang-undang dengan serta-merta kepada penghasut dan penyebar fitnah yang memburuk-burukkan, merendah-rendahkan, menghina YDPA ini dengan segera.  Dengan segera diambil tindakan undang-undang setara dan setimpalnya.  Kuasa khas YDPA di bawah Perlembagaan Persekutuan bukannya sebarang kuasa yang boleh direndah-rendahkan oleh pihak-pihak tertentu atas apa alasan pun.”

Tambahnya, “Malaysia ialah sebuah negara Monarki Berperlembagaan.  Punca kuasa tertinggi negara kita ialah Perlembagaan Persekutuan.  Ketua Utama Persekutuan (Perkara 32) dan Ketua Eksekutif negara kita ialah KDYMM SPB YDPA (Perkara 39). Maka, adalah satu perbuatan penderhakaan yang tinggi bila mana kumpulan tertentu berbuat onar propaganda dan persepsi negatif terhadap YDPA dan kuasa baginda.”

Menempelak pihak yang mendakwa darurat yang dilaksanakan ketika ini hanyalah sekadar darurat politik, beliau menyatakan, andaian tersebut adalah satu tuduhan berat terhadap YDPA dan secara langsung menghina kuasa YDPA yang diperuntukkan di bawah Perkara 150 Perlembagaan Persekutuan.

“Tidak ada peruntukan bagi ‘darurat politik’ dalam peruntukan Perkara 150.  Yang ada hanya peruntukan darurat ‘…bahawa suatu darurat besar sedang berlaku yang menyebabkan keselamatan, atau kehidupan ekonomi, atau ketenteraman awam di dalam Persekutuan atau mana-mana bahagiannya terancam,….’.”

“YDPA mempunyai kuasa khas dan kuasa budi bicara yang diperuntukkan di bawah Perkara 150.  Sudah semestinya kuasa khas dan kuasa budi bicara tersebut dilaksanakan berlandaskan laporan-laporan tertentu yang telah disediakan.  Membuat andaian yang berupa tuduhan terhadap KDYMM YDPA amatlah merbahaya dan mempunyai unsur hasutan dan penghinaan terhadap bidang kuasa khas dan budi bicara YDPA.”

Oleh yang demikian, Puan Azlinda menegaskan, darurat amat wajar diisytiharkan apabila melihat pandemik Covid-19 yang semakin memburuk dan memberi kesan terutamanya kepada institusi jagaan kesihatan negara dan petugas barisan hadapan.

“Setelah melihat kepada perkembangan semasa di tanah air sejak 2019 amnya dan ancaman pandemik Covid-19 bermula tahun 2020 lalu dan berterusan sehingga kini yang mana telah memberi kesan buruk dan cabaran yang tidak terhingga besarnya kepada institusi jagaan kesihatan negara terutamanya hinggalah kepada kehidupan rakyat/masyarakat dan penduduk negara kita yang terkesan bukan sahaja dari aspek pekerjaan harian malah pendidikan dan kegiatan ekonomi yang semakin meruncing kepada sebahagian besar penduduk negara kita, maka, amatlah wajar sekali darurat diisytiharkan.”

“Perkara 150 (1) diperuntukkan di Bahagian XI Perlembagaan Persekutuan iaitu KUASA KHAS MENENTANG PERBUATAN SUBVERSIF, KEGANASAN TERANCANG, DAN PERBUATAN DAN JENAYAH YANG MEMUDARATKAN ORANG AWAM DAN KUASA DARURAT”. ”

“YDPA mempunyai kuasa budi bicara untuk membuat keputusan mengenai darurat itu.  Dan kuasa itu tidak boleh dipersoalkan di mahkamah. Ini peruntukan yang memuktamadkan keputusan YDPA.  Mahkamah tidak mempunyai bidang kuasa untuk melayan dan mendengar perkara berkenaan Perkara 150.”

Leave a Reply

Back to top button
%d bloggers like this: