Tempatan

Perantaraan Isu-Isu Negara – Datuk Zainul Rijal Abu Bakar

Jangan lupa sertai TikTok, YouTube, Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini.

Jangan lupa sertai Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini

Minggu lepas saya menulis tentang tarikh yang dinantikan rakyat dan wakil rakyat iaitu Sidang Khas Parlimen yang bermula Isnin lepas. Dalam taakulan minggu lepas saya menukilkan rakyat memerhati tingkah laku dan karenah wakil rakyat di Parlimen. Benar sekali jangkaan saya perdebatan dan pertikaman lidah begitu hangat di dewan yang mulia tersebut dan ada juga yang  tergelincir dari landasan adab dan sopan.

Namun perkara yang lebih mengejutkan ialah pengumuman Menteri Undang-Undang bahawa ordinan-ordinan darurat telah pun dibatalkan berkuat kuasa 21 Julai 2021. Hal ini hanya dimaklumkan pada hari pertama Sidang Khas tersebut iaitu selepas lima hari ia didakwa dibatalkan.

Sementelah pemakluman tersebut pelbagai reaksi timbul sama ada dari sudut perundangan ataupun bukan perundangan.  Persoalan keabsahan pembatalan itu juga dibahaskan bukan sahaja di dalam Dewan Rakyat tetapi juga di khalayak awam sama ada pakar perundangan apatah lagi netizen. Pada minggu ini saya tidak berhasrat untuk mengulas sama ada sah atau tidak pembatalan ordinan tersebut pada 21 Julai 2021 kerana ramai telah memberikan pandangan masing-masing.

Yang di-Pertuan Agong pula pada 29 Julai 2021 dilaporkan menzahirkan kedukacitaan baginda kerana pengumuman kerajaan tentang pembatalan ordinan-ordinan tersebut dibuat berkuat kuasa 21 Julai 2021 walhal baginda masih lagi belum memberi pekenan kepada pembatalan tersebut. Natijahnya Dewan Rakyat yang sedang mengadakan Sidang Khasnya terpaksa ditempohkan beberapa kali Khamis lalu.

Perdana Menteri pula telah mengeluarkan kenyataan akhbar beliau lewat petang kelmarin yang menjelaskan senario yang dihadapi dan pandangan pihak Kerajaan. Saya telah meneliti laporan-laporan di media, sebagaimana saya katakan di atas saya tidak berhasrat untuk  membuat satu pandangan yang tegas sama ada pembatalan tersebut sah atau tidak kerana untuk menentukan sedemikian forum yang paling sesuai adalah Mahkamah Persekutuan.

Pihak Kerajaan atau pihak berkepentingan yang lain boleh memohon pentafsiran yang tuntas dari Mahkamah Persekutuan, ataupun Yang di-Pertuan Agong sendiri merujuk kepada Mahkamah Persekutuan sebagaimana peruntukan Perkara 130 Perlembagaan Persekutuan. Namun begitu keputusan daripada mahkamah bukanlah boleh dibuat sekelip mata, ia memerlukan masa dan proses yang agak kompleks juga.

Apa yang saya ingin tampilkan di dalam ruangan ini ialah setelah meneliti penzahiran dukacita Yang di-Pertuan Agong serta penjelasan oleh Perdana Menteri, saya tidak nampak akan wujud titik pertemuan antara kedua belah pihak bagi menyelesaikan isu ini. Ada beberapa pilihan yang boleh dibuat sebagaimana dibincangkan oleh ramai kalangan pakar perundangan antaranya perletakan jawatan Perdana Menteri dan Jemaah Menteri, memohon maaf atas kekhilafan, pembubaran  Dewan Rakyat dan banyak lagi.

Hal ini adalah disebabkan kuasa eksekutif sebenar Persekutuan adalah di tangan Yang di-Pertuan Agong, Jemaah Menteri menjalankan kuasa Yang Ddi-Pertuan Agong tersebut yang diberikan di dalam Perkara 39 Perlembagaan Persekutuan bagi pihak Yang di-Pertuan Agong.

Semua ini adalah pilihan yang tidak boleh dipaksakan ke atas mana-mana pihak. Persoalan juga timbul jika Perdana Menteri dan barisan kabinetnya meletak jawatan ataupun Dewan Rakyat dibubarkan, apakah jaminan kita akan mempunyai kerajaan yang stabil selepas ini?

Memandang ke hadapan, pada pandangan saya sangat perlu seorang yang berwibawa dilantik untuk menjadi perantaraan agar titik pertemuan dapat dicapai antara semua pihak demi untuk kesejahteraan negara.  Mungkin ada yang sudah lupa suatu ketika lama dahulu apabila Sultan di sebuah negeri tidak sependapat dengan Menteri Besar baginda dalam suatu isu, baginda membuat protes dengan tidak menggunting rambut baginda dalam tempoh yang lama, akhirnya Menteri Besar tersebut terpaksa digantikan dengan Menteri Besar yang lain. Pasti kita tidak mahu insiden seperti ini berlaku lagi, oleh itu adalah menjadi keperluan perkara ini perlu diselesaikan dengan kadar segera.

Apapun musyawarah itu adalah jalan yang terbaik. Saya tidak boleh bayangkan jika hubungan antara kerajaan dan Yang di-Pertuan Agong menjadi dingin, bagaimanakah kesejahteraan negara dan kebajikan rakyat dapat diperjuangkan.

Datuk Zainul Rijal Abu Bakar adalah Presiden Persatuan Peguam-Peguam Muslim Malaysia.

*Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan Samudera.my*

Leave a Reply

Back to top button
%d bloggers like this:

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker