Tempatan

Agong Perkenan Persidangan Parlimen Dalam Tempoh Darurat

KUALA LUMPUR – Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menzahirkan pandangan bahawa Parlimen boleh bersidang semasa tempoh darurat berkuat kuasa pada suatu tarikh yang difikirkan sesuai atas nasihat Perdana Menteri.

Baginda bertitah demikian ketika menerima menghadap Speaker Dewan Negara, Tan Sri Rais Yatim dan Speaker Dewan Rakyat Datuk Azhar Azizan Harun di Istana Negara, hari ini.

Ujar Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara Datuk Ahmad Fadil Shamsuddin, dalam sesi menghadap itu, Seri Paduka Baginda menegaskan bahawa Malaysia sebagai sebuah negara yang mengamalkan sistem demokrasi yang berteraskan prinsip Keluhuran Perlembagaan, setiap cabang pentadbiran negara sama ada pihak Eksekutif, Kehakiman mahupun Parlimen haruslah sentiasa akur kepada prinsip tersebut.

Di samping itu, Seri Paduka Baginda juga mengambil maklum atas hal-hal sampingan berkaitan budaya, warisan serta etika tataperlakuan Ahli-ahli Dewan Rakyat dan Dewan Negara semasa melunaskan tanggungjawab berbahas dan bertindak agar sentiasa bersifat mulia dan dipandang tinggi.

“Perkenan Seri Paduka Baginda kepada nasihat Perdana Menteri berkenaan proklamasi darurat pada 12 Januari lalu adalah semata-mata sebagai langkah proaktif untuk membendung gejala wabak COVID-19 yang telah meragut lebih 1,000 nyawa setakat ini.”

“Oleh hal yang demikian, tanggapan sesetengah pihak bahawa pelaksanaan proklamasi darurat menghalang Parlimen untuk bersidang adalah tidak tepat,” tegas Datuk Ahmad Fadil Shamsuddin.

Leave a Reply

Related Articles

Back to top button