Tempatan

“Kita mesti berbalik kepada Perlembagaan Persekutuan” – Tun Hanif Omar

KUALA LUMPUR – “Kita mesti berbalik semula kepada peruntukan undang-undang atau Perlembagaan Negara agar dapat memahami keadaan sebenar berhubung perisytiharan darurat yang dibuat oleh Yang di-Pertuan Agong, Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah,” kata mantan Ketua Polis Negara, Tun Mohammed Hanif Omar.

Beliau berkata demikian ketika ditanya mengenai tohmahan beberapa pihak yang cuba menangguk di air keruh dalam isu perisytiharan darurat, baru-baru ini.

Hal ini kerana ada pihak-pihak yang cuba menentang perisytiharan darurat dan ini seolah-olah mempertikai titah YDPA sekaligus dilihat sebagai menentang Raja-Raja atau dalam istilahnya digelar sebagai anti-monarki.

Menurut Tun Hanif Omar, rakyat mestilah berbalik semula kepada peruntukan perundangan di dalam Perlembagaan sedia ada agar kefahaman mereka tidak terjejas oleh anasir luar yang sengaja cuba memecah-belah dan memesongkan fikiran mereka.

“Sekali lagi saya tegaskan, kita mesti berbalik kepada peruntukan undang-undang negara kita.”

“Proklamasi Undang-Undang Darurat adalah kaedah yang terdapat dalam undang-undang tertinggi kita iaitu Perlembagaan Persekutuan,” kata beliau yang merupakan Ketua Polis Negara keempat dan yang paling lama berkhidmat di Malaysia iaitu selama 20 tahun.

Ketika ditanya apakah ada motif lain di sebalik penentangan ini atau adakah ini merupakan perancangan jahat (malicious) pihak tertentu sehingga berani menentang titah YDPA beliau berkata, kita tidak boleh mempersoalkan hak pihak yang berhak tetapi cuba kita melihat kembali Akta Hasutan 1948.

Jelas beliau, walaupun hal ini memberi hak untuk kita menyoal pelaksanaannya mengikut lunas-lunasnya, akan tetapi bukan dengan cara membantah hak yang berhak, atau menghasut untuk mendatangkan kebencian.

Leave a Reply

Related Articles

Back to top button