Tempatan

Cubaan Membawa Masuk Naratif Negara Republik Tanpa Monarki: Satu Penderhakaan Dan Sabotaj Kepada Negara -Tan Sri Musa Hassan

KUALA LUMPUR –  “Ada pihak-pihak tertentu yang tidak bertanggungjawab sedang dalam cubaan membawa masuk naratif negara republik tanpa monarki ke dalam negara,” tegas bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan.

Beliau mengulas lanjut isu berhubung pihak berkepentingan yang masih cuba menentang perisytiharan darurat dibuat oleh Yang di-Pertuan Agong, Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, baru-baru ini.

“Keadaan ini dilihat seolah-olah mempertikaikan titah YDPA selain menentang Raja-Raja sekaligus dilihat sebagai anti-monarki.”

Menurutnya, jika ada pihak yang cuba membawa naratif negara republik tanpa monarki, jelas ia adalah suatu perbuatan untuk menderhaka dan sabotaj kepada negara, maka perlu diambil tindakan undang-undang terhadap pihak berkenaan.

Menurut pandangan beliau, apabila perisytiharan darurat telah dibuat oleh YDPA, tiada siapa boleh menentang kerana ia dibuat mengikut Perlembagaan sah yang memberi kuasa kepada YDPA.

Ditanya mengenai siapa agaknya yang melampau dan menjadi pelampau ini serta apakah motifnya, Tan Sri Musa memberitahu, pihak yang menentang ini adalah sebahagian dari kalangan ahli politik yang cuba untuk menyingkir kerajaan dengan menolak Perdana Menteri (PM) yang dikatakan tidak mendapat sokongan ahli-ahli Parlimen.

Jelasnya, selagi YDPA bertindak mengikut lunas-lunas Perlembagaan, maka perisytiharan darurat adalah sah.

“Pihak berkuasa boleh mengambil apa-apa tindakan yang bertepatan di bawah undang-undang sedia ada terhadap mana-mana individu atau kumpulan berkenaan,” katanya.

Beliau yang juga Pengerusi Selangor Wilayah Industrial Security Society (SWiSS) berkata, mereka yang menentang dan mengeluarkan kenyataan-kenyataan yang berbaur hasutan terhadap YDPA dengan tujuan untuk mewujudkan kebencian terhadap Institusi Raja-Raja perlu diambil tindakan undang-undang dengan tegas.

Bagaimanapun ujar beliau, cara terbaik ialah masyarakat perlu patuh pada perisytiharan ini mengikut tempoh yang ditetapkan oleh YDPA tanpa terpengaruh dengan pihak-pihak lain,” katanya.

Persoalan mengenai apakah ada motif lain di sebalik penentangan ini dan apakah ia merupakan perancangan jahat (malicious) pihak tertentu sehingga berani menentang titah YDPA, Tan Sri Musa menyifatkan hal ini dilihat sebagai bermotifkan politik.

“Motifnya adalah politikal. Mereka yang menentang ini sendiri tidak peka dengan Perlembagaan Malaysia atau mentafsirnya mengikut emosi untuk menentang perisytiharan tersebut,” ujarnya mengakhiri temuramah.

Leave a Reply

Related Articles

Back to top button