Tempatan

Darurat Automatik Luput Selepas 1 Ogos 2021 – Datuk Zainul Rijal Abu Bakar

Jangan lupa sertai Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini

KUALA LUMPUR, 01 Ogos 2021 – Pada 12 Januari 2021 apabila kerajaan mengumumkan telah mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong untuk suatu proklamasi Darurat, ia telah pun diputuskan tempoh darurat yang telah diperkenan tersebut adalah sehingga 1 Ogos 2021.

Oleh yang demikian, selepas 1 Ogos 2021 tempoh darurat tersebut dengan sendirinya akan menjadi luput dan tidak memerlukan sebarang instrumen lain untuk mengesahkannya. Hal ini adalah disebabkan tempohnya telahpun ditetapkan, kata Presiden Persatuan Peguam-Peguam Muslim Malaysia (PPMM), Datuk Zainul Rijal Abu Bakar.

Menurutnya, oleh kerana tempoh tersebut telah ditetapkan, ia tidak mempunyai syarat atau kaedah lain.

Sekiranya tempoh itu tidak ditetapkan, ia hendaklah dilakukan dengan perkenan Yang di-Pertuan Agong atau melalui keputusan Parlimen.

Menyentuh mengenai Ordinan Darurat yang dilaporkan telah dibatalkan pada 21 Julai 2021 yang lalu, Datuk Zainul Rijal berkata, “Jika benar Ordinan-Ordinan Darurat telah dibatalkan pada 21 Julai 2021, maka hukuman di bawah ordinan tersebut tidak boleh dilaksanakan walaupun kesalahan yang didakwa tersebut berlaku sebelum pembatalan.”

Menurut beliau, ini adalah kerana sesuatu pendakwaan itu boleh dilaksanakan hanya jika undang-undang berkaitan sedang berkuat kuasa dan sebarang sabitan kepada orang kena tuduh (OKT) mestilah terhadap kesalahan yang sedang berkuatkuasa.

“Jika Ordinan-Ordinan telah dibatalkan, pendakwaan dan sabitan tidak boleh dibuat,” katanya.

Ditanya, adakah tindakan kerajaan menamatkan darurat melanggar Perlembagaan, beliau berkata, tidak kepada darurat, namun pembatalan ordinan-ordinan darurat memerlukan perkenan daripada Yang di-Pertuan Agong ataupun kelulusan Parlimen jika Parlimen bersidang.

Persoalan mengenai adakah tindakan kerajaan ini satu penderhakaan kepada institusi Diraja, Datuk Zainul Rijal menjelaskan yang beliau percaya ia tidak terjumlah kepada penderhakaan kepada Yang di-Pertuan Agong tetapi siasatan boleh dijalankan sekiranya ada kesalahan lain seperti Seksyen 124B Kanun Keseksaan iaitu melakukan aktiviti yang menjejaskan demokrasi berparlimen.

“Namun begitu terpulang kepada mahkamah yang akan menimbang berlaku kesalahan atau sebaliknya.”

“Apa yang saya ingin tampilkan ialah setelah meneliti penzahiran dukacita Yang di-Pertuan Agong serta penjelasan oleh Perdana Menteri, saya tidak nampak akan wujud titik pertemuan antara kedua belah pihak bagi menyelesaikan isu ini.”

Menurutnya lagi, ada beberapa pilihan yang boleh dibuat sebagaimana dibincangkan oleh ramai kalangan pakar perundangan antaranya perletakan jawatan Perdana Menteri dan Jemaah Menteri, memohon maaf atas kekhilafan, pembubaran Dewan Rakyat dan banyak lagi.

“Namun ini semua tidak akan memadamkan kesan perselisihan antara kedua pihak dan juga rakyat,” katanya.

Beliau berkata, semua itu adalah pilihan yang tidak boleh dipaksakan ke atas mana-mana pihak.

Persoalan juga timbul jika Perdana Menteri dan barisan kabinetnya meletak jawatan ataupun Dewan Rakyat dibubarkan, apakah jaminan kita akan mempunyai kerajaan yang stabil selepas ini?

“Memandang ke hadapan dan demi kesejahteraan negara, pada pandangan saya sangat perlu seorang atau sekumpulan yang berwibawa dilantik untuk menjadi mediator bagi mencari titik pertemuan dan dapat dicapai persetujuan antara semua pihak demi untuk kesejahteraan negara. “

“Jika suasana dingin antara Kerajaan dan Yang di-Pertuan Agong, pasti kelicinan pentadbiran kerajaan tidak dapat dijalankan.”

Menurut Datuk Zainul Rijal lagi, memandangkan PPMM telah melatih lebih 300 orang mediator bertauliah, PPMM bersedia menggalas tanggungjawab ini sebagai mediator bersama-sama orang berwibawa lain demi untuk kesejahteraan negara.

“Dalam proses mediasi, kita tidak melihat apa yang sudah berlaku, kedudukan undang-undang ataupun hak tetapi lebih menumpukan kepada perkara masa hadapan, keperluan dan bagaimana untuk meneruskan kehidupan bernegara pada masa hadapan. Tidak timbul siapa betul siapa salah.”

Beliau menegaskan, apapun, musyawarah itu adalah jalan yang terbaik.

“Saya tidak boleh bayangkan jika hubungan antara kerajaan dan Yang di-Pertuan Agong menjadi dingin, bagaimanakah kesejahteraan negara dan kebajikan rakyat dapat diperjuangkan,” katanya mengakhiri perbualan.

Leave a Reply

Related Articles

Back to top button