Tempatan

SKMM Sekat 549 Laman Lucah, 69 Laman Pelacuran

Jangan lupa sertai TikTok, YouTube, Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini.

SKMM Sekat 549 Laman Lucah, 69 Laman Pelacuran

KUALA LUMPUR, 25 Jun 2024 – Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) telah melaksanakan sekatan ke atas 549 laman lucah dan 69 laman pelacuran dalam tempoh 1 Januari hingga 1 Jun lalu, kata Timbalan Menteri Komunikasi, Teo Nie Ching.

Beliau berkata demikian bagi menjawab kepada soalan daripada Datuk Hajah Siti Aminah Binti Aching (Beaufort) berhubung perancangan Kerajaan bagi membanteras budaya Dark Side.

Soalannya bertanyakan tentang apakah tindakan yang akan diambil oleh pihak Kementerian terhadap pengendali akaun yang menawarkan aktiviti pelacuran dalam talian seperti platform X dan Telegram.

Menurut Teo Nie Ching, SKMM dengan kerjasama penyedia platform media sosial telah menurunkan 308 kandungan lucah dan 838 berunsur pelacuran dalam tempoh yang sama 1 Januari hingga 1 Jun lalu.

Antara media sosial terlibat termasuklah X dan Telegram yang melanggar piawaian komuniti pihak penyedia platform dan undang-undang sedia ada.

“Bagi tempoh sama, SKMM telah melaksanakan tindakan sekatan ke atas 549 laman lucah dan 69 laman pelacuran. Bagi tindakan penguatkuasaan pula, sebanyak tujuh kes masih di bawah siasatan SKMM melibatkan kandungan lucah.

“Tindakan ini akan diteruskan oleh SKMM dari semasa ke semasa berdasarkan pemantauan serta aduan yang diterima daripada pihak berkuasa dan orang awam,” jelas beliau dalam Sidang Dewan Rakyat, semalam.

Bagaimanapun, menurut beliau kegiatan sama ada dalam atau luar talian adalah di bawah tindakan dan bidang kuasa Polis Diraja Malaysia (PDRM).

“Kementerian menerusi SKMM hanya memberikan bantuan teknikal kepada pihak berkuasa seperti penurunan kandungan media sosial dan sekatan laman sesawang serta pembekalan maklumat dan analisis forensik digital untuk mempercepatkan proses siasatan.

“Selain itu, SKMM melaksanakan tindakan penguatkuasaan berdasarkan Akta Komunikasi dan Multimedia Malaysia [Akta 588] jika kandungan yang dimuat naik bersifat lucah, sumbang, palsu, mengancam atau jelik sifatnya,” ujarnya lagi.

Leave a Reply

Back to top button
%d bloggers like this: