Jambatan Tertinggi Dunia Dijangka Siap Tahun Depan
BEIJING, 31 Ogos 2024 – Jambatan tertinggi dunia di China dijangka siap pada tahun 2025 selepas hampir tiga tahun proses perancangan dan pembinaan.
Memetik laporan akhbar tempatan, jambatan tersebut dinamakan Jambatan Ngarai Besar Huajing yang dibina di wilayah Guizhou, barat daya China, malah dijangka dapat mengurangkan masa perjalanan selama 70 minit kepada hanya satu minit untuk menyeberangi Ngarai Huajing.
Ia dibina setinggi dua Menara Eiffel, Paris iaitu pada ketinggian 624.84 meter dari Sungai Bedpan dan sepanjang 2.81 kilometer.
Ketua jurutera projek, Liu Hao berkata, pekerja yang terlibat dalam pembinaan jambatan merangkumi umur 35 tahun ke bawah.
“Golongan muda cenderung menerima perkara baharu dengan lebih mudah tanpa dipengaruhi oleh pengalaman. Mereka juga mempunyai keupayaan kuat untuk melakukan perubahan,” kata Hao.
Laporan lain menyebut, sebanyak 18 daripada 20 jambatan tertinggi dunia terletak di China.