Perang Gaza: Menurun Taraf Hubungan Malaysia-AS Rugikan Negara – Menteri Luar
KUALA LUMPUR, 25 Jun 2024 – “Berhubung dengan konlifk yang sedang mencengkam di Gaza, keterlibatan Amerika Syarikat (AS) dalam menyokong tindakan Israel tidak dapat kita nafikan. Walau bagaimanapun, tindakan menurun taraf hubungan Malaysia dan AS hanya akan merugikan negara.”
Jawab Menteri Luar Negeri, YB. Dato’ Seri Utama Haji Mohamad bin Haji Hasan kepada soalan yang diajukan oleh Tuan Lim Guan Eng dalam Persidangan Dewan Rakyat Mesyuarat Kedua Penggal Ketiga semalam.
Beliau mengajukan soalan berhubung status hubungan diplomatik dengan Amerika Syarikat selepas negara itu masih menyokong genosid yang dilakukan oleh rejim Israel ke atas rakyat Palestin, khususnya sama ada Kedutaan AS ‘diturun taraf’ dalam urusannya dengan Malaysia khususnya mengenai permohonan membeli tanah GLC Kerajaan.
Ujar Mohamad Hasan, “Memandangkan Malaysia tidak mempunyai hubungan diplomatik dengan Israel, Malaysia telah menggunakan hubungan baik dengan AS, bagi menyuarakan pendirian tegas kepada AS supaya Israel menghentikan serangan ke atas Palestin, serta menggesa AS memainkan peranan sebagai sebuah kuasa besar yang adil dan patuh kepada undang-undang antarabangsa.”
Tambahnya lagi, sekiranya Malaysia memilih untuk menurun taraf hubungan diplomatik dengan AS, negara kita juga perlu mempertimbang semula hubungan diplomatik dengan negara lain yang menyokong rejim Zionis Israel seperti United Kingdom, Jerman, Kesatuan Eropah, Korea Selatan dan lain lagi.
Tindakan tersebut akan memberi impak negatif kepada perdagangan dan ekonomi Malaysia, khususnya apabila mereka juga bertindak untuk reciprocate dengan menurun taraf hubungan diplomatik dengan Malaysia yang menyokong perjuangan Palestin.
Beliau percaya tindakan itu bukan satu-satunya jalan untuk menekan kuasa besar bertindak tegas dalam isu konflik Gaza malah hubungan baik antara dua negara ini dapat membantu Malaysia membawa isu Palestin ke peringkat antarabangsa sekali gus berjaya membuahkan hasil.
Lanjutan itu, menteri itu berkata, “Persoalan sama ada Kedutaan Amerika Syarikat di Kuala Lumpur “diturun taraf” dalam urusannya dengan Malaysia, termasuklah permohonan mereka untuk membeli tanah syarikat berkaitan kerajaan (GLC) adalah tidak berbangkit. Urusan pembelian tanah tersebut juga merupakan urusan jual-beli komersil, atau dengan izin, commercial (business) transaction yang biasa, dan pastinya memakan masa kerana melibatkan perbincangan yang teliti, terutamanya supaya kedua-dua pihak dapat mencapai kata persetujuan.”