Tempatan

Rampasan Group Media Sosial, Peringatan SKMM

Jangan lupa sertai TikTok, YouTube, Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini.

CYBERJAYA, 12 Ogos 2022 – Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) mengingatkan pengguna media sosial untuk sentiasa berwaspada dengan tidak berkongsi kod pengesahan kepada mana-mana pihak termasuk individu yang dikenali selain tidak klik kepada sebarang URL atau pautan (link) yang didapati mencurigakan.

Kenyataan itu dikeluarkan melalui laman rasmi Facebook SKMM selepas pihaknya melakukan pemerhatian mengenai insiden yang kerap berlaku sejak kebelakangan ini melibatkan pengambilalihan akaun bagi aplikasi pemesejan yang semakin meningkat.

“Pengambilalihan akaun aplikasi pemesejan berlaku melalui taktik penyamaran dan pemerdayaan. Taktik ini memperdaya mangsa supaya menyerahkan kod pengesahan (verification code) atau kod keselamatan (security code) 4-digit, 5-digit atau 6-digit yang dihantar oleh pihak penyedia platform aplikasi pemesejan terlibat sama ada melalui SMS, e-mel mahupun tetapan lain yang telah dipilih oleh pengguna.”

“Antara beberapa helah dan modus operandi yang sering digunakan oleh pelaku adalah seperti:

1.Pelaku menyamar sebagai pihak berkuasa yang menggunakan akaun pemesejan palsu dan menggunakan elemen ugutan atau pemerasan bagi mendapatkan kod pengesahan.

2. Pelaku menyamar sebagai rakan atau ahli keluarga dengan menggunakan akaun pemesejan (milik rakan atau ahli keluarga) yang telah berjaya diambil alih sebelum ini dan seterusnya merayu bantuan mangsa untuk menyerahkan kod pengesahan dengan dakwaan bahawa kod tersebut adalah milik mereka (rakan atau ahli keluarga), dan pihak penyedia platform aplikasi pemesejan yang berkenaan telah tersalah menghantar kod tersebut kepada mangsa.

3. Pelaku menyamar sebagai pihak berkuasa dan memaklumkan kepada manga bahawa mangsa telah dipilih untuk menjadi sebahagian daripada ahli kumpulan rahsia yang diwujudkan oleh pihak Kerajaan. Mangsa seterusnya diarahkan untuk berkongsikan kod pengesahan yang telah dihantar melalui aplikasi pemesejan atau SMS bagi mendapatkan akses ke dalam kumpulan rahsia tersebut.

4. Memancing data (phishing) – Pelaku akan berhubung dengan mangsa sama ada melalui aplikasi pemesejan atau di ruangan pesanan (direct message) media sosial dengan menyamar sebagai wakil kepada penyedia platform aplikasi pemesejan, dan memaklumkan bahawa manga telah melakukan pelanggaran privasi atau hak cipta dan pengguna diarahkan untuk klik pada pautan yang diberikan bagi tujuan pembetulan.

Oleh itu, pihak SKMM menyeru orang ramai supaya mengaktifkan penyahihan dua-faktor (‘two-factor authentication’-2FA) bagi setiap akaun media sosial dan aplikasi pemesejan serta tidak berkongsikan sebarang kod kepada pihak yang tidak bertanggungjawab.

“Butiran lanjut mengenai penyahihan dua-faktor boleh didapati di pautan https://www.mcmc.gov.my/skmmgovmy/media/General/NOTIS_PEMBERITAHUAN_AKTIFKAN_2FA_20220210_FINAL-1.pdf.

SKMM menyarankan para pengguna yang pernah menjadi mangsa penipuan ini untuk tampil membuat aduan secara terus kepada pihak pengendali platform dan juga kepada kepada pihak SKMM di pautan https://aduan.skmm.gov.my/.

Leave a Reply

Back to top button