Hanya 6% Aduan Kepada SKMM Telah Disiasat Sejak 2016
Jangan lupa sertai Tiktok, Youtube, Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini
KUALA LUMPUR, 10 Disember 2021 – Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) hanya menyiasat 963 daripada 15,238 aduan gangguan dalam talian yang dibuat dari 2016 hingga 30 September tahun ini.
Ini adalah sebahagian daripada statistik yang didedahkan oleh Kementerian Komunikasi dan Multimedia (KKMM) dalam jawapan bertulis kepada Nurul Izzah Anwar (PH-Permatang Pauh) pada 6 Disember 2021 baru-baru ini.
15,238 kes aduan adalah termasuk buli dalam talian, ancaman dan ugutan dalam talian, gangguan seksual, serta penyalahgunaan maklumat peribadi, butiran atau gambar individu bagi tujuan mengaibkan.
Selain itu, jawapan bertulis itu juga mendedahkan bahawa hanya 60 daripada 963 kes tersebut telah dibawa ke mahkamah dengan sejumlah 241 pertuduhan dikenakan terhadap penjenayah.
Walau bagaimanapun, kementerian tidak dapat memberikan perincian data yang diminta Ahli Parlimen Permatang Pauh itu mengenai kaum, jantina dan negeri asal mangsa serta pelaku.
Menurut Menteri Komunikasi dan Multimedia Annuar Musa, SKMM telah memberikan nasihat dan bimbingan kepada pihak yang terlibat dalam beberapa kes ini.
Beberapa kes juga telah dimajukan ke platform media sosial yang berkaitan untuk tindakan selanjutnya. Bagi kes di luar bidang kuasa SKMM, Annuar berkata ia telah dirujuk kepada pihak berkuasa berkaitan manakala pengawal selia terus memberikan bantuan teknikal.