Tempatan

Jenayah Online Scam Meningkat 23 Peratus Dalam Tempoh 9 Bulan

Jangan lupa sertai TikTok, YouTube, Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini.

BACHOK, 15 November 2023 – Sebanyak 19,224 kes penipuan dalam talian dicatatkan sepanjang tempoh sembilan bulan tahun ini bermula Januari lalu melibatkan kerugian yang dianggarkan berjumlah RM687 juta.

Timbalan Menteri Komunikasi dan Digital, Teo Nie Ching berkata, kes tersebut meningkat sebanyak 23 peratus daripada 15,659 kes sebelum ini sebagaimana statistik yang dikeluarkan oleh Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Polis Diraja Malaysia (PDRM) Bukit Aman.

Katanya, golongan profesional seperti pensyarah, guru, jurutera, doktor, ahli perniagaan serta pesara dan warga emas merupakan antara kumpulan yang menjadi mangsa kepada penipuan ini.

Dalam pada itu, Nie Ching memaklumkan, Pusat Tindak Balas Insiden Siber Cyber999 yang dikendalikan oleh CyberSecurity Malaysia merekodkan 7,292 insiden keselamatan siber sepanjang tahun lalu.

“Bagaimanapun pada tahun ini bermula Januari hingga Oktober sebanyak

4,898 insiden keselamatan siber telah diterima. Ia membabitkan kes penipuan dalam talian (fraud) sebanyak 3,087 kes.”

Ahli Parlimen Kulai itu berkata semasa berucap pada Majlis Perasmian Jelajah Anti Scam Kebangsaan 2023 Peringkat Kelantan di Dewan Tuanku Canselor Universiti Malaysia Kelantan Kampus Bachok, pada Selasa.

Jelasnya, sehingga 31 Oktober lalu sebanyak 4,013 penurunan akaun dan kandungan penipuan telah ditutup.

Pada masa sama 1,764 laman sesawang palsu berkait penipuan pemancingan maklumat (Phishing) telah disekat oleh pihak kementerian.

“Kita juga sudah menyekat 410,590,277 kandungan mesej dari sistem pesanan ringkas (SMS) berkait penipuan sepanjang Januari sehingga September tahun ini.”

“Bukan itu sahaja, 19 juta SMS yang mengandungi pautan palsu sepanjang 2 Mei sehingga September tahun ini telah disekat oleh pihak kerajaan,” ujarnya.

Leave a Reply

Back to top button
%d bloggers like this: