Bekas Ahli Parlimen Mahu SKMM ‘Unblock’ Blog Beliau, Atau Ke Mahkamah
WANGSA MAJU, 28 Julai 2023 – Mantan Ahli Parlimen Wangsa Maju, Wee Choo Keong menuntut Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) menyahsekat laman blognya, http://weechookeong.com/ dalam tempoh 24 jam atau berdepan tindakan undang-undang.
“Sila ambil perhatian bahawa jika blog pelanggan kami terus disekat dan kekal tidak boleh diakses, kami tidak teragak-agak untuk memfailkan prosiding kehakiman terhadap anda dan/atau menteri anda dan/atau kerajaan Malaysia, tanpa prejudis terhadap tuntutan pampasan atau kerosakan,” kata peguam kepada Wee Choo Keong dalam satu surat kepada SKMM.
BACA JUGA: Pilihan Raya: Bayaran Tiket Bas, Ole-Ole, Satu Kesalahan – SPRM
BACA JUGA: PRN: Dilarang Terbangkan Dron Tanpa Kelulusan – CAAM
BACA JUGA: KTM Perkenal Sistem Baharu, Jualan Tiket Setiap 30hb
“Anak guam kami berharap beliau tidak perlu mengambil tindakan undang-undang jika anda bertindak dengan sewajarnya dalam tempoh masa yang ditetapkan untuk mematuhi tuntutannya,” katanya lagi seperti laporan portal tempatan.
Tambah surat itu, SKMM bertindak seperti “ejen rahsia”, walaupun Malaysia adalah masyarakat sivil.
Wee Choo Keong menyedari sekatan itu pada malam 24 Julai. Ia kemudiannya disahkan melalui mesej daripada hos pelayan pada 25 Julai yang mengatakan laman sesawang itu disekat oleh SKMM.
Laman sesawang mantan Ahli Parlimen itu terkenal dengan kritikan lantangnya terhadap hubungan antara perniagaan utama dan ahli politik serta pendedahan rasuah dalam sektor kewangan Malaysia.