E-Dompet Boleh Jadi Platform Rasuah Zaman Moden
PETALING JAYA, 29 Ogos 2024 – Penggunaan sistem tanpa tunai atau e-dompet berisiko dimanipulasi oleh pihak tidak bertanggungjawab melakukan kegiatan rasuah kerana transaksi yang dilakukan melalui platform tersebut sukar dikesan pihak berkuasa.
Sistem tanpa tunai itu terbahagi kepada dua iaitu verified wallet yang dikawal selia oleh pihak pengurusan atau syarikat seperti Apple Pay, Pay Wave dan E-Wallet.
Selain itu, terdapat sistem tanpa tunai yang dikenali sebagai peer-to-peer wallet yang membawa maksud tidak ada pengawasan dan ini yang mendatangkan kebimbangan menjadi ‘platform’ untuk aktiviti rasuah.
Pensyarah Kanan di Kolej Pengkomputeran, Informatik dan Matematik Universiti Teknologi Mara (UiTM), Dr. Irni Eliana Khairuddin berkata, peer to peer wallet amat berbeza dengan pengesahan e-dompet.
Menurut beliau, pengguna sistem tanpa tunai yang dikawal selia hanya boleh didaftarkan menggunakan kad pengenalan, pasport dan gambar bagi membolehkan pihak pengurusan melakukan semakan serta pengesahan kata laluan termasuk satu bentuk identifikasi (ID).
Jelasnya, sistem tersebut dapat mengesan sebarang salah guna transaksi termasuk rasuah maka tindakan sewajarnya dapat diambil ke atas pemilik.
“Tetapi peer to peer wallet, tiada pendaftaran dan pengesahan yang rumit diperlukan. Pemilik akaun perlu bertanggungjawab sepenuhnya ke atas pengurusan dompet tersebut termasuk kata laluan dan ID.
“Ini kerana tiada pihak pengurusan yang menguruskan data tersebut. Pemilik dompet juga boleh menggunakan nama ‘anonymous’ ketika melakukan transaksi, jadi mereka perlu bertanggungjawab sepenuhnya ke atas transaksi yang dilakukan.
“Ini kerana sekiranya berlaku kesilapan di dalam transaksi, ia tidak dapat dibatalkan.
“Kebanyakan pengguna mata wang kripto menggunakan dompet jenis ini kerana sekiranya berlaku salah guna transaksi seperti rasuah adalah amat sukar dikenal pasti pemilik dompet tersebut dan transaksi tersebut tidak dapat dibatalkan,” katanya.
Sementara itu, Ketua Makmal Perlindungan Siber dan Governans, Pusat Kajian Keselamatan Siber di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof Dr Zarina Shukur berkata, pengesahan e-dompet memudahkan untuk pihak yang tidak bertanggungjawab meraih ‘duit kopi’.
Bagaimanapun, katanya, ia juga memudahkan pihak berkuasa mengambil tindakan memandangkan setiap rekod transaksi melalui platform tersebut boleh diperolehi.
“Walaupun rasuah itu dalam bentuk kecil, maka ia tetap boleh dijejak oleh pihak berkuasa,” jelasnya.