Tempatan

Pilihan Raya Umum Paling Lewat Julai 2022 – PM

Jangan lupa sertai TikTok, YouTube, Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini.

Jangan lupa sertai Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini

KUALA LUMPUR, 13 Ogos 2021 – Perdana Menteri Muhyiddin Yassin sebentar tadi telah membentangkan tujuh cadangan rangka persefahaman rentas parti yang akan dilaksanakan oleh kerajaan sekiranya usul undi percaya diluluskan.

Selain itu, beliau juga memberikan akujanji bahawa Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) akan diadakan selewat-lewatnya pada penghujung bulan Julai tahun hadapan bergantung kepada situasi pandemik.

Tujuh cadangan yang dibentangkan menurut sidang media sebentar tadi adalah:

1. Peruntukan kepada Ahli-Ahli Parlimen.

“Atas semangat kerjasama bi-partisan di Parlimen dan keperluan untuk memperluaskan bentuk-bentuk bantuan kepada rakyat dalam situasi pandemik, semua Ahli Parlimen akan menerima peruntukan tahunan yang sama tanpa mengira parti politik. Bagi Ahli Parlimen pembangkang, peruntukan untuk tahun ini akan dibuat secara prorata mengikut jumlah bulan yang berbaki.”

2. “Whole of Government” dan “Whole of Society”.

“Sejajar dengan cadangan yang diadakan Menteri Kewangan dengan pelbagai pihak termasuk pimpinan parti pembangkang untuk mendapatkan input dan cadangan bagi menambahbaik Pelan Pemulihan Negara, kerajaan akan membentangkan untuk kelulusan Parlimen penambahan siling Dana Covid-19, bantuan tunai sebanyak RM10 bilion akan disalurkan kepada 11 juta penerima dan bantuan kepada PKS.”

3. Pembentangan Rang Undang-Undang mengehadkan jawatan Perdana Menteri dan Rang Undang-Undang Anti-Lompat Parti jika Perdana Menteri mendapat sokongan melebihi dua pertiga daripada Ahli Parlimen.

“Sekiranya kerajaan berjaya mendapatkan sokongan bi-partisan di Dewan Rakyat dan Dewan Negara yang melebihi majoriti dua pertiga, suatu Rang Undang-Undang Pindaan Perlembagaan untuk menghadkan tempoh jawatan Perdana Menteri kepada dua penggal sahaja dan Rang UndangUndang Anti-Lompat Parti akan dibentangkan di Parlimen.”

4. Reformasi Parlimen.

“Kerajaan juga akan memperkukuhkan reformasi parlimen dengan memastikan jumlah Ahli Parlimen Kerajaan dan Pembangkang yang menganggotai Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen adalah lebih seimbang.”

“Sejajar dengan jangkaan bebanan tugas yang akan bertambah dalam melaksanakan fungsi semak dan imbang yang lebih efektif, kerajaan akan menyediakan kakitangan sokongan dan saraan yang berpatutan kepada semua Pengerusi Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen.”

5. Pelaksanaan Undi18 tanpa menunggu pendaftaran automatik.

“Kerajaan telah bersetuju untuk melaksanakan Undi 18 tanpa menunggu pelaksanaan pendaftaran automatik yang akan mengambil masa. Untuk itu, satu Rang Undang-Undang Pindaan Perlembagaan akan dibentangkan di Parlimen untuk tujuan ini. Saya berharap, dengan adanya kerjasama bi-partisan di Parlimen, rang undang-undang ini akan dapat diluluskan.”

6. Semua rang undang-undang yang akan dibentangkan di Parlimen akan dirundingi terlebih dahulu dengan semua Ahli Parlimen.

“Rang undang-undang termasuk rang undang-undang perbekalan yang akan dibentangkan di Parlimen akan dirundingi terlebih dahulu dengan semua Ahli Parlimen. Suatu rang undang-undang hanya akan dibentangkan sekiranya mendapat sokongan majoriti Ahli Parlimen.”

7. Sebagai pengiktirafan kepada peranan parti pembangkang yang mempunyai jumlah perwakilan yang hampir seimbang di Dewan Rakyat, Ketua Pembangkang akan diberikan saraan dan kemudahan yang setara dengan seorang Menteri Kanan.

Mengakhiri kenyatan, Muhyiddin menyatakan, “Sekiranya cadangan kerjasama bi-partisan ini dipersetujui, saya akan memanggil Sidang Khas Dewan Rakyat untuk membentangkan usul undi percaya kepada Perdana Menteri dalam masa terdekat.”

Leave a Reply

Back to top button
%d bloggers like this: