PRU-15

Bebaskan Negara Dari Kemelut Politik Kuasa – Dato’ Zainul Rijal Abu Bakar

Jangan lupa sertai TikTok, YouTube, Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini.

Sistem politik di Malaysia kian berantakan dari sehari ke sehari bermula sebelum dari PRU-14 hingga pasca PRU-15 ini.

Hal ini menzahirkan kegagalan sistem politik di Malaysia yang mengikut acuan dari British. Mungkin sistem tersebut sesuai di British tetapi ia perlu disesuaikan di bumi Malaysia. Ini terbukti apabila kita melihat rakyat Malaysia berpolitik ‘24/7/365’ (dua puluh empat jam sehari, tujuh hari seminggu, tiga ratus enam puluh lima hari setahun) tanpa henti. Tumpuan Kerajaan dan rakyat kepada kesejahteraan rakyat sering dikesampingkan apatah lagi menggarap strategi mampan bagi menghadapi kesan pasca pandemic COVID-19 yang membimbangkan.

Di kalangan orang politik kuasa sangat penting. Disebabkan itulah bagi yang berada di tampuk kuasa mereka mahu mempertahankannya dan bagi mereka yang tidak memiliki kuasa mahu merampasnya. Fokus para politikus adalah kuasa bukannya perkhidmatan yang ingin diberikan bagi membina negara.

Rakyat sudah muak dengan mainan politik sebegini kerana kesejahteraan rakyat dan negara tidak diberi keutamaan. Sampai bilakah kemelut ini akan berterusan? Jikapun berlaku perubahan Kerajaan, ia masih tidak menjadi Kerajaan yang kukuh. Mainan yang sama akan dilakukan lagi. Jika berlaku Pilihan Raya Umum pula tiada jaminan Kerajaan yang dipilih nanti akan menjadi Kerajaan yang kuat juga. Natijahnya fenomena yang sama akan berulang.

Walaupun pengundi telah memberi isyarat jelas semasa PRU-14 dan kini PRU-15 namun isyarat tersebut masih belum difahami sebahagian besar ahli politik.

Rakyat dan ahli politik perlu anjakan paradigma. Mereka harus sedar memiliki kuasa bukanlah suatu tasyrifan (kemuliaan) tetapi semata-mata merupakan taklifan (kebertanggungjawaban) kepada negara. Jika hakikat ini diinsafi negara akan terselamat dari mara bahaya.

Sudah sampai masanya Malaysia menekan butang ‘reset’ bagi memformatkan semula negara. Peranan politikus mungkin perlu diminimakan kepada penggubalan undang-undang dengan memberi keutamaan kepada peranan teknokrat, agamawan, pentadbir dan masyarakat sivil dalam membina negara. Dengan cara ini matlamat mengekalkan kuasa tidak lagi akan menjadi agenda utama dan rakyat didahulukan. Saya pernah menulis mengenai ‘Reset Malaysia’ ini beberapa tahun lepas bagi melontarkan idea mensejahterakan negara ketika itu. Kebimbangan saya ketika itu berasaskan kepada polemik yang dihadapi negara. Kini saya lebih bimbang dengan keadaan dalam negara khususnya apabila keselamatan kesihatan dan ekonomi negara di tahap yang meruncing.

Dari sudut undang-undang Reset Malaysia boleh dilakukan dengan meneliti semula peruntukan-peruntukan yang ada di dalam Perlembagaan Persekutuan dan memberi tafsiran yang tepat mengenainya. Saya tidak berhasrat untuk mengulas satu persatu peruntukan Perlembagaan yang berkenaan kerana pernah menulisnya sebelum ini.

Apa yang saya ingin zahirkan ialah Malaysia perlukan perubahan di dalam pelaksanaan sistem pemerintahannya. Kita akur Yang di-Pertuan Agong adalah eksekutif sebenar bagi Persekutuan, Jemaah Menteri hanya menjalankan fungsi eksekutif Yang di-Pertuan Agong ini menurut Perkara 39 Perlembagaan Persekutuan. Hakikat ini perlu dipertegas dan diberikan makna yang sebenar.

Moga ada sinar perubahan di Malaysia. Kita perlu tahu membezakan cahaya dari kegelapan. Terbukti sudah dua kali PRU tetapi kemelut politik kuasa dan kepimpinan masih meruncing. Sama-samalah kita mencari jalan keluar bagi bebas dari kemelut ini. Kita perlu beralih dari politik kuasa kepada politik khidmat negara.

Dato’ Haji Zainul Rijal Abu Bakar
Presiden
Persatuan Peguam-Peguam Muslim Malaysia

Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan samudera.my

Leave a Reply

Back to top button
%d bloggers like this: