PRU-15: Kerajaan Kelantan Umum Cuti Ahad Ini
Jangan lupa sertai TikTok, YouTube, Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini.
KOTA BHARU, 16 November 2022 – Kerajaan Negeri Kelantan mengumumkan Ahad, 20 November ini sebagai Hari Kelepasan Am sempena Pilihan Raya Ke-15 (PRU-15).
Pengumuman itu dibuat menerusi satu kenyataan oleh Menteri Besar Kelantan, Datuk Ahmad Yakob pada tengah hari tadi bagi memudahkan anak perantau pulang menunaikan tanggungjawab mengundi pada 19 November ini.
“Pada 14 November 2022, Perdana Menteri telah mengumumkan bahawa tarikh 18 dan 19 November 2022 (Jumaat dan Sabtu) sebagai Hari Kelepasan Am seluruh Malaysia bagi memudahkan rakyat Malaysia menunaikan tanggungjawab masing-masing untuk keluar mengundi pada Pilihan Raya Umum Ke-15 yang telah ditetapkan pada hari Sabtu, 19 November 2022.”
“Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri yang bersidang pada 16 November, hari ini bersetuju untuk mengisytiharkan tarikh 18 dan 19 November (Jumaat dan Sabtu) sebagai Hari Kelepasan Am bagi seluruh Negeri Kelantan,” katanya.
Selaras dengan Pekeliling Perkhidmatan Negeri Bilangan 7 Tahun 1996, memandangkan Hari Kelepasan Am yang diumumkan jatuh pada Hari Kelepasan mingguan negeri itu, maka hari Ahad, 20 November dijadikan sebagai Hari Kelepasan Am.
Pengisytiharan Hari Kelepasan Am ini adalah bagi memberi peluang dan memudahkan rakyat khususnya yang bertugas di negeri Pantai Timur itu untuk keluar atau pulang mengundi di kawasan masing-masing.