PRU-15

TERKINI: Agong Dan Majlis Raja-Raja Akan Adakan Mesyuarat Khas Esok

Jangan lupa sertai TikTok, YouTube, Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini.

KUALA LUMPUR, 23 November 2022 – Satu sumber dari Istana Negara memaklumkan bahawa KDYMM Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah akan mengadakan satu mesyuarat khas bersama Majlis Raja-Raja pada esok hari.

Menurut sebuah portal tempatan berbahasa Inggeris, difahamkan, ini adalah bagi memberi ruang untuk Seri Paduka Baginda meminta pandangan Raja-Raja Melayu mengenai pembentukan Kerajaan Persekutuan.

Dalam satu kenyataan, Istana Negara memaklumkan bahawa, “Perbincangan Khas Raja-Raja Melayu ini adalah bertujuan untuk Seri Paduka Baginda mendapatkan pandangan Duli-Duli Yang Maha Mulia Raja-Raja Melayu bagi Baginda membuat keputusan demi kepentingan dan kesejahteraan negara dan rakyat.”

KDYMM Yang di-Pertuan Agong cuba menubuhkan kerajaan perpaduan yang terdiri daripada Pakatan Harapan (PH) dan Perikatan Nasional (PN) tetapi gagal setakat ini.

“Rakyat telahpun membuat keputusan untuk memilih wakil mereka. Maka, terserah kepada Wakil Rakyat untuk mencari penyelesaian bagi mengurai kemelut yang membelenggu rakyat jelata,” kata Istana Negara lagi.

Raja-Raja Melayu dijangka akan diberi taklimat mengenai prosedur undang-undang kerana Parlimen tergantung telah berlaku.

Mesyuarat akan bermula pada 10.30 pagi esok dan ia dijangka berlangsung sekurang-kurangnya tiga jam.

Berikutan itu, Seri Paduka Baginda menyeru agar seluruh rakyat dan semua pihak untuk terus beristiqomah dan bertenang sehingga proses untuk membentuk Kerajaan baharu selesai.

“Sesungguhnya, masa depan negara tumpahnya darah kita adalah terlalu berharga dan wajar kita rencanakan dengan penuh cermat serta teliti,” kata Istana Negara.

Leave a Reply

Back to top button
%d bloggers like this: