PRU-15

Agong Titah Semua Terima Keputusan PRU-15 Dengan Lapang Dada

Jangan lupa sertai TikTok, YouTube, Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini.

KUALA LUMPUR, 20 November 2022 – Berikutan tiada parti politik berjaya memperoleh majoriti mudah kerusi Parlimen untuk membentuk Kerajaan baharu, KDYMM Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Almarhum Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta’in Billah menitahkan parti politik yang memenangi kerusi Parlimen pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) untuk membuat perakuan gabungan politik untuk penubuhan kerajaan baharu, sebelum jam 2 petang esok.

Maklum Istana Negara dalam satu kenyataan media yang dikeluarkan, menjunjung titah perkenan Seri Paduka Baginda, Istana Negara telah meminta kerjasama Tan Sri Azhar memohon kepada ketua parti-parti politik dan ketua gabungan parti-parti politik yang mempunyai jumlah kerusi yang banyak untuk memaklumkan kepada Istana Negara mengenai gabungan parti-parti politik yang telah dipersetujui antara parti-parti politik/gabungan parti-parti politik berkenaan bagi pembentukan kerajaan baharu pasca PRU-15.

Kenyataan sama turut menyebut selaras dengan Perkara 40(2)(a) dan Perkara 43(2)(a) Perlembagaan Persekutuan, titah perkenan dan keputusan YDPA berkenaan pembentukan Kerajaan baharu dan pelantikan Perdana Menteri menerusi proses yang telah dijelaskan adalah muktamad.

“Seri Paduka Baginda menasihati rakyat dan ketua parti-parti politik akur dan menghormati proses demokrasi serta menerima keputusan PRU-15 dengan tenang serta berlapang dada demi menjaga keutuhan negara kerana negara ini umpama harta pusaka di mana para pemimpin adalah pemegang amanahnya.”

Malah, Yang di-Pertuan Agong turut mengajak rakyat untuk bersama mendoakan semoga Malaysia dirahmati dan diberkati serta dilindungi daripada sebarang bentuk bencana dan musibah.

“Seri Paduka Baginda turut mengingatkan bahawa negara memerlukan sebuah Kerajaan yang stabil, berwibawa dan berintegriti untuk menjaga kemaslahatan rakyat dan memacu agenda kesejahteraan negara,” kata Istana Negara lagi.

Leave a Reply

Back to top button
%d bloggers like this: