Selepas PRU-15, Bahan Kempen Akan Menjadi Sampah?
Jangan lupa sertai Tiktok, Youtube, Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini.
KUALA LUMPUR, 17 November 2022 – Rata-rata jentera Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) telah membelanjakan sejumlah kos yang besar untuk mencetak bahan kempen seperti poster, risalah, kain rentang dan bendera, namun apakah kesudahan bahan-bahan kempen ini setelah PRU-15 berakhir?
Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp) melaporkan, hasil kutipan sisa pepejal bagi PRU-14 meningkat kepada 269,042 tan pada Mei 2018 berbanding 250,266 tan pada April 2018.
Perkara itu disahkan oleh pengurus jentera PRU-15 DAP Parlimen Kepon, Lai Chun Chian yang berkata pihaknya berbelanja besar untuk cetakan bahan kempen untuk diedarkan kepada pengundi ketika sesi jelajah calon dan ceramah perdana.
Namun, kebiasaannya pihaknya akan mengutip kembali bahan kempen yang boleh digunakan semula dan menyimpannya untuk kegunaan pilihan raya akan datang.
“Bahan kempen yang rosak antaranya akibat vandalisme, kami terpaksa menghantarnya ke tapak pelupusan sampah, namun bahan yang masih elok tetapi tidak boleh digunakan dalam jangka masa panjang akan dihantar ke pusat kitar semula,” katanya.
Bagi sukarelawan jentera PRU-15 Barisan Nasional (BN) Parlimen Cheras, Nick Sim, sebahagian daripada bahan kempen seperti baju akan disumbangkan kepada golongan memerlukan seperti gelandangan dan rumah kebajikan.
“Jika sepanduk dan kain rentang pula, ada peniaga gerai yang kami temui sepanjang tempoh berkempen, meminta daripada kami untuk dijadikan sebagai penghadang matahari,” katanya.
Sementara itu, Pengasas Bersama dan Pengarah Zero Waste Malaysia (ZWM), Khor Sue Yee memberi contoh negara India dalam mengawal penggunaan bahan kempen semasa PRU.
“Kerajaan negara itu menguatkuasakan undang-undang pada tahun 2008 yang menyebut, bendera parti politik hanya boleh dipasang di premis persendirian dengan persetujuan pemilik. Had juga dikenakan iaitu hanya tiga bendera dipasang di kediaman penyokong atau pekerja parti.”
“Langkah mewujudkan dasar yang sedemikian boleh membuktikan komitmen kerajaan ke arah mencapai matlamat kehidupan mesra alam dan menjadikan Malaysia negara mesra alam,” katanya.