Tempatan

175 NGO Rayu Agong Campur Tangan Hentikan Perebutan Kuasa Politikus

Jangan lupa sertai TikTok, YouTube, Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini.

Jangan lupa sertai Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini

KUALA LUMPUR, 13 Ogos 2021 – Gerakan Pembela Ummah (UMMAH) dan 175 NGO Islam Malaysia merayu campur tangan Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong dan Raja-Raja Melayu untuk menitahkan agar pemimpin-pemimpin politik mengutamakan nyawa rakyat ketika menghadapi pandemik Covid-19 yang semakin membimbangkan.

“Menyambut titah nasihat daripada Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor, Sultan Johor dan Pemangku Raja Pahang yang menitahkan agar pemimpin berhenti daripada perebutan kuasa dan mengutamakan kemaslahatan rakyat dan perpaduan ummah.”

“Patik sekalian amat sedih dan gusar kerana kebelakangan ini pemimpin-pemimpin politik terus-menerus sibuk berebut kuasa dalam keadaan di mana negara sedang bergelut dengan kes-kes positif Covid-19 yang meningkat sehingga lebih daripada 20,000 kes sehari dengan kes kematian juga sentiasa berada dalam lingkungan tiga angka.”

UMMAH dan 175 NGO yang lain juga meluahkan kerisauan mereka jika sekiranya kerajaan yang ada ini terbubar.

“Jika sekiranya kerajaan yang ada ini terbubar, maka tiada mana-mana pihak yang memperolehi majoriti untuk membentuk kerajaan.”

“Sekiranya keadaan ini berlaku, ia sudah pasti akan menjejaskan dan meletakkan negara dalam keadaan yang amat tidak stabil. Ini akan menjejaskan usaha dan fokus kerajaan menangani Covid -19.”

Mereka juga berpendapat, isu pertukaran Perdana Menteri dan anggota Jemaah Menteri, atau pertukaran kerajaan bukanlah perkara yang sesuai dilakukan pada masa ini kerana ia hanya akan menambahkan lagi kecelaruan sedia ada.

“Tidak ada jaminan bahawa pertukaran Perdana Menteri atau kerajaan pada sekarang akan dapat mempercepatkan langkah membasmi Covid-19 dan memulihkan ekonomi negara.”

Oleh itu, UMMAH dan gabungan NGO lain berharap Agong campur tangan untuk menghentikan percakaran antara para pemimpin parti-parti politik di negara ini.

“Patik sekalian mewakili Gerakan Pembela Ummah (UMMAH) dan 175 NGO Islam Malaysia menjunjung kasih kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong dan Duli-Duli Yang Maha Mulia Raja-Raja Melayu agar dapatlah meneliti akan rayuan patik sekalian ini supaya Duli-Duli Yang Maha Mulia campur tangan untuk menghentikan percakaran antara para pemimpin parti-parti politik di negara ini dan meminta semua pemimpin yang berkenaan itu supaya memberi keutamaan kepada nyawa rakyat bukannya pada percaturan kuasa.”

Leave a Reply

Back to top button
%d bloggers like this:

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker