Tempatan

Penjualan Paracetamol Meningkat Sehingga 238% Bagi Suku Pertama 2022

Jangan lupa sertai TikTok, YouTube, Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini.

Jangan lupa sertai Tiktok, Youtube, Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini.

KUALA LUMPUR, 26 Julai 2022 – Ahli Parlimen Kota Belud, YB Puan Isnaraissah Munirah telah mengajukan soalan mengenai perancangan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) bagi mewujudkan Dasar Sekuriti Ubat-Ubatan Negara dan sejauh manakah langkah Kementerian mewujudkan stok penimbal ubat-ubatan dapat mengawal ketidakstabilan bekalan ubat.

“Penjualan bagi ubat Paracetamol didapati meningkat sehingga 238% bagi suku pertama tahun 2022 berbanding data jualan suku pertama bagi tahun sebelumnya,” kata Menteri Kesihatan Khairy Jamaludin dalam sesi perbahasan Parlimen pagi ini.

Ujar Khairy, rantaian bekalan ubat-ubatan telah terjejas disebabkan polisi ‘total lockdown’ di negara China, di mana negara tersebut paling banyak menghasilkan bekalan bahan aktif farmaseutikal dan juga disebabkan peperangan antara Rusia-Ukraine.

“Permintaan yang tinggi dan gangguan kepada bekalan ini telah menyebabkan berlakunya kekurangan bekalan bagi beberapa jenis ubat-ubatan walaupun pengeluaran ubat-ubatan tersebut telah ditingkatkan oleh pengilang-pengilang tempatan,” jelas Khairy.

Selain itu, beliau memaklumkan bahawa jumlah ubat-ubatan yang diimport dari luar negara juga telah ditingkatkan dan pihaknya menjangkakan keadaan akan pulih menjelang suku keempat tahun 2022.

Antara inisiatif rancangan jangka masa panjang KKM bagi menangani situasi ini adalah menggalakkan syarikat farmaseutikal tempatan mengeluarkan ubat-ubatan sendiri termasuk bahan aktif farmaseutikal (API) melalui perkongsian awam-swasta (PPP).

KKM turut bercadang menaiktaraf sistem pendaftaran dan perlesenan produk (QUEST) bagi membolehkan proses mengemaskini status pemasaran produk pada masa sebenar dan membenarkan pihak berkuasa memantau ketersediaan produk di pasaran.

Kerajaan juga akan mengukuhkan kerjasama serantau Asean melalui rangka kerja Asean Drug Security and Self Reliance iaitu sebuah projek yang diketuai Malaysia dalam menambahbaik akses ubat-ubatan. Katanya, salah satu strategi projek itu adalah kaedah perolehan ubat-ubatan secara pukal untuk negara di bawah rantau Asean.

Tambah beliau, Kerajaan bersetuju melepaskan stok penimbal ubat-ubatan KKM bagi ubat tertentu untuk dijual ke pasaran, di samping menjualnya dengan harga asal dan berpatutan tanpa sebarang kenaikan harga.

KKM sentiasa komited dalam memastikan ketersediaan bekalan dan sekuriti ubat-ubatan yang mampan serta akses berterusan terhadap ubat-ubatan penting di Malaysia.

Leave a Reply

Back to top button
%d bloggers like this: