Tempatan

Pemangku Raja Pahang Maafkan Kelakuan Aktivis, Titah Tiada Tindakan Lanjut

Jangan lupa sertai TikTok, YouTube, Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini.

Jangan lupa sertai Tiktok, Youtube, Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini.

PAHANG, 26 Julai 2022 – KDYMM Pemangku Raja Pahang Tengku Mahkota Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Ibni Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dalam sebuah hantaran di laman Instagram baginda baru-baru ini berkenan memaafkan kelakuan beberapa orang aktivis serta menitahkan supaya tiada tindakan dikenakan ke atas mereka.

“Beta baru maklum akan hal ini, beta menitahkan supaya pihak polis tidak mengambil tindakan ke atasnya. Tolong jangan adakan ‘drama’,” titah baginda tegas seraya mengepilkan tangkap layar sebuah berita mengenai seorang aktivis yang dipanggil menghadap pihak polis.

Dalam sebuah hantaran lain, KDYMM Tengku Hassanal juga telah bertitah dan memohon maaf atas keterlewatan baginda menghadiri sebuah upacara kerana baginda sedikit gering pada pagi berkenaan.

“Dia mengatakan bahawa beta lambat 2 jam ke upacara tersebut, beta merasakan tidak sihat pada pagi tersebut (baru pulih daripada demam panas, bukan COVID), sebelum upacara penanaman pokok walaupun sepatutnya beta hadir,” titah baginda.

“Pesanan peribadi beta kepada Noor Jehan Abu Bakar – Beta memohon maaf kerana terlambat hadir ke upacara tersebut. Beta berasa gering pada pagi tersebut dan perlu mengambil langkah berjaga-jaga untuk keselamatan semua. Beta hargai masa dan keprihatinan anda. Terima kasih,” titah Pemangku Raja Pahang itu dalam sebuah hantaran lain.

KDYMM Tengku Hassanal juga telah memuat naik sebuah hantaran lain berserta kepilan hantaran oleh akaun @kuasasiswa yang memaparkan karikatur dengan tajuk “Push up 4 Tasik Chini” di mana baginda bertitah:

“Terima Kasih. Tidak perlu laporan polis, beta berkenan terhadap gambar ini.”

Sikap yang ditunjukkan oleh KDYMM Tengku Hassanal ini mendapat perhatian dan sanjungan umum, di mana seorang pengguna laman sosial Twitter menyatakan:

“Sangat besar hati dan mulia tindakan baginda. Ini adalah sesuatu yang ‘menyegarkan’ dan indah untuk dilihat.”

“Jawapan yang bagus. Putera ok je, ’Nobody’ yang lebih-lebih,” ujar pengguna lain pula.

“Memohon maaf dan mengambil tanggungjawab kerana terlewat… kalaulah kita ada lebih ramai lagi pemimpin yang mempunyai kualiti yang sama,” tambah seorang pengguna lain.

“Alhamdulillah. Penjelasan yang berbudi bahasa, manis,” ulas pengguna lain.

Leave a Reply

Back to top button
%d bloggers like this: