Tempatan

Bar dan Kelab Malam Kekurangan Wain Dan Champagne Import

Jangan lupa sertai TikTok, YouTube, Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini.

Jangan lupa sertai Tiktok, Youtube, Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini.

KUALA LUMPUR, 23 Julai 2022 – Bar dan kelab malam mengalami kekurangan bekalan wain dan champagne dari luar negara susulan daripada kejatuhan nilai ringgit diikuti perang yang berlaku antara Rusia dan Ukraine.

Naib Presiden Persatuan Pemilik Restoran dan Bistro, Jeremy Lim berkata kekurangan bekalan itu jelas terlihat sewaktu hujung minggu apabila ramai orang yang keluar minum setelah perintah berkurung COVID-19 dilonggarkan bermula 15 Mei lalu.

Menurut beliau, wain dan champagne import ini memerlukan kos yang tinggi dan juga tempoh masa yang lama untuk mendarat di negara ini.

“Bagi outlet saya, tempahan dibuat pada pertengahan Mei. Tetapi pembekal berkata wain dan champagne import tiada stok. Bar saya dibuka pada masa ini bergantung kepada stok, kadang kala saya hanya buka dua hari seminggu,” katanya kepada pihak The Malaysia Insight.

Katanya, pihak pembekal memberi alasan bahawa berlakunya kekurangan pekerja di UK dan Perancis susulan kes COVID-19 sekali gus memberi kesan kepada perniagaannya yang hanya mampu untuk membayar sewa dan upah pekerja sahaja.

Selain itu, lapor akhbar berkenaan, isu kekurangan pelekat cukai minuman keras di Jabatan Kastam juga menjadi sebab stok minuman itu tidak dapat dikeluarkan.

Pengusaha bar, Kesavan Purusotman yang menguruskan lima bar dan kelab mengatakan bahawa selain perusahaannya, terdapat beberapa bar di Kuala Lumpur yang mengalami kekurangan wain import.

“Selepas Kementerian Kesihatan (KKM) menbenarkan bar dan kelab malam dibuka semula pada Mei, terdapat peningkatan mendadak dalam permintaan wain import,” ujarnya.

James Ho, Timbalan Presiden Persekutuan Industri Hiburan Johor mengatakan biarpun bekalan wain import di Johor tidak serius, namun minuman keras yang lain seperti Hennessy dan Martell masih mendapat permintaan yang tinggi dan turut terpalit dengan masalah bekalan.

Bahkan, harga minuman keras ini juga sudah dijangkakan mahal oleh pengguna kata Presiden Persekutuan Industri Hiburan Malaysia, Liew Poon Siak.

“Bukan hanya kekurangan bekalan yang akan menyaksikan peniaga menaikkan harga, tetapi bahan mentah juga lebih mahal kerana peperangan dan logistik,” tambah beliau.

Leave a Reply

Back to top button
%d bloggers like this: