Antarabangsa

China Enggan Bekalkan Alat Ganti Pesawat Pada Rusia

Jangan lupa sertai Tiktok, Youtube, Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini.

SHANGHAI, 13 Mac 2022 – China dilaporkan enggan untuk membekalkan sektor penerbangan Rusia dengan alat ganti, setelah syarikat-syarikat Barat Boeing dan Airbus tidak lagi mahu berurusan dengan Rusia.

Selain Boeing dan Airbus, Embraer dan Bombardier juga enggan untuk meneruskan hubungan perniagaan mereka dengan Rusia.

Sektor penerbangan Rusia kini dihimpit oleh sekatan Kesatuan Eropah, Kanada dan Amerika Syarikat disebabkan oleh serangan ketenteraan ke atas Ukraine.

Sekatan barangan alat ganti terhadap syarikat-syarikat penerbangan Rusia boleh mendatangkan akibat kritikal kepada industri negara itu sehingga mungkin boleh memaksa pesawat-pesawat Rusia mengamalkan ‘kanibalisasi’ sesama sendiri untuk terus beroperasi.

Rusia terpaksa menanggalkan sebahagian pesawat mereka untuk digunakan sebagai alat ganti supaya pesawat lain boleh meneruskan operasi penerbangan, menurut Oleg Panteleev, Pengarah Russian Aviaport.

“Kanibalisasi boleh berlaku kerana permintaan bagi pesawat-pesawat akan berkurangan.”

Walaupun Rusia berjaya mendapatkan pengeluar alat ganti yang sudi untuk berurusan dengan syarikat-syarikat penerbangan mereka, namun usaha ini pasti mengalami jalan buntu disebabkan oleh kesukaran untuk membuat transaksi pembayaran disebabkan bank-bank Rusia kini telah disekat oleh sistem pembayaran antarabangsa SWIFT.

Valery Kudinov, Pengarah di Jabatan Penyelenggaraan Kelayakan Penerbangan Agensi Pengangkutan Udara Persekutuan Rusia (Rosaviatsiya) berkata, Rusia mungkin mencari peluang untuk mendapatkan sumber alat ganti dari negara-negara lain termasuk Turki dan India selepas gagal mendapatkannya dari China.

Leave a Reply

Back to top button
%d bloggers like this: