Mufti Perlis Gesa KKM Jamin Beri Pampasan Kepada Penerima Booster
Jangan lupa sertai Tiktok, Youtube, Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini.
SHAH ALAM, 09 Februari 2022 – Dato’ Dr Mohd Asri Zainul Abidin, Mufti Perlis, menggesa supaya Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) memberikan jaminan pampasan kepada individu yang mengalami kesan buruk susulan pengambilan dos penggalak.
“Jika KKM yakin tiada risiko buruk dos penggalak, maka saya ingin cadangkan supaya penerima tak perlu tandatangan surat yg menghalang tuntutan ganti rugi, sebaliknya KKM memberi jaminan bayaran pampasan jika berlaku apa-apa kesan buruk kesihatan pada penerima,” ujar beliau dalam sebuah hantaran di laman Twitter.
BACA: KP Kesihatan Sahkan Berlaku Kes Radang Jantung Selepas Vaksin
BACA: Kes Sejumlah Banduan Kajang Mati Lepas Dos Ketiga, PPIM Tuntut Penjelasan
BACA: Dos Penggalak Mungkin Bawa Penderitaan: “Istikharah Dahulu” – Mufti Perlis
Dalam sebuah kenyataan lain, mufti tersebut juga menegaskan supaya pampasan diberikan agar keadilan dapat diberikan kepada rakyat yang bakal mengambil dos penggalak.
“Ada yang mendakwa maut. Di pihak KKM pula sering menafikan. Supaya tidak berlaku ketidakadilan, maka KKM boleh membuktikan apa yang pihak mereka kata selama ini benar dengan memberi jaminan bayaran pampasan jika berlaku kesan buruk ke atas penerima,” katanya seperti yang dilaporkan portal MSN News.
“Ini baru seimbang dan bukti dakwaan KKM ini jujur bukan kerana ada unsur lain seperti bisnes dan seumpamanya seperti yang dituduh.” Tambah beliau lagi.
Beliau turut menyentuh tentang kemarahan rakyat berkaitan isu vaksin, di mana beliau mendakwa sekiranya hal ini tidak diurus dengan baik, kemarahan rakyat akan sukar ditangkis.
“Jika tidak, saya lihat kemarahan rakyat dalam isu ini makin membesar dan sukar ditangkis oleh kerajaan,” ujarnya.
Terdahulu, mufti tersebut turut menggesa KKM menyiasat kesan sampingan dari pengambilan dos penggalak susulan kemasukan ayah beliau ke hospital setelah mendapatkan dos penggalak.
“…KKM wajar memandang serius dan mengkaji kesan sampingan dos penggalak kepada mereka yang mungkin tidak sesuai,” kata beliau dalam hantarannya di laman Instagram.