Tempatan

KKM Bekalkan Lebih 3 Ribu Paxlovid Kepada Jemaah Haji

Jangan lupa sertai Tiktok, Youtube, Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini.

KUALA LUMPUR, 16 Mei 2022 – Berikutan daripada risiko penularan COVID-19, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) membekalkan sekurang-kurangnya 3,000 ubat antiviral Paxlovid sebagai persediaan merawat jemaah haji yang dijangkiti semasa berada di tanah suci.

Perkara ini dinyatakan oleh Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin melalui akaun Facebook KKM pada Jumaat lepas.

Menurutnya, ubat antiviral ini akan diberikan kepada jemaah haji positif COVID-19 yang memenuhi kriteria yang telah ditetapkan.

“Petugas perubatan KKM akan menilai kesesuaian pesakit sebelum boleh dimulakan dengan rawatan ubat Paxlovid.”

Tambahnya lagi, selain rawatan menggunakan ubat Paxlovid, langkah-langkah pencegahan dan kawalan infeksi akan dipertingkat bagi mengawal penularan wabak ini dan penyakit berjangkit yang lain.

Beliau turut memberitahu bahawa kerajaan telah meluluskan pembiayaan sebanyak RM5 juta yang merangkumi perolehan ubat-ubatan dan alat perubatan serta tambang penerbangan dan elaun petugas perubatan bagi membiayai perbelanjaan perkhidmatan kesihatan jemaah haji Malaysia tahun ini.

Seramai 255 petugas perubatan akan dihantar bagi membantu pengoperasian ibadah haji tahun ini.

Kumpulan petugas perubatan itu terdiri daripada pelbagai skim perkhidmatan seperti perubatan, farmasi, jururawat, pembantu perawatan kesihatan dan penjagaan kerohanian bagi membantu Tabung Haji melancarkan perjalanan ibadah haji pada tahun ini.

Dalam pada itu, KKM juga menyarankan agar semua bakal jemaah haji terutama individu berumur 60 tahun dan ke atas dan individu dewasa berumur 18 tahun hingga 59 tahun yang mempunyai risiko klinikal penyakit teruk untuk mengambil peluang mendapatkan dos penggalak kedua sebelum berangkat ke tanah suci.

“Pun begitu, KKM ingin memaklumkan bahawa pengambilan vaksin dos penggalak kedua ini adalah secara sukarela.”

Leave a Reply

Back to top button