NGO

Tahniah KKM Kerjasama Dengan Perubatan Negara China: Apa Nasib Etno-Sains Perubatan Kita?

Jangan lupa sertai Tiktok, Youtube, Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini.

Etno-Sains Perubatan Alam Melayu Perlu Mendapat Pengiktirafan Kerajaan

Hari ini negara menyaksikan keterbukaan kerajaan Malaysia menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) dengan Kerajaan Republik Rakyat China (P.R.China) untuk melestari serta mengarusperdanakan perubatan tradisional dan komplementari sebagai tambahan kepada sistem perubatan alopati di bawah payung sains perubatan

Sidang Demi Malaiu mengucapkan tahniah atas keterbukaan Kerajaan Malaysia amnya dan kepada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) khasnya.

Atas sifat keterbukaan ini, kami mengesyor dan memohon kerajaan Malaysia serta KKM untuk turut memberi perhatian dan pertimbangkan etno-sains perubatan Alam Melayu yang memiliki potensi berkualiti. Malaysia adalah sebuah negara di garisan Kathulistiwa yang memiliki hutan tropika yang kaya dengan sumber alami terdiri dari flora (tumbuhan herba dan tanaman pokok-pokok), fauna (haiwan dan serangga) serta dari galian yang dikurniakan oleh Tuhan untuk memulihara kesihatan, mencegah penyakit dan merawat penyakit. Etno-sains perubatan Alam Melayu adalah ilmu kearifan tempatan mengenai perubatan yang diwarisi dari zaman ke zaman dalam Alam Melayu. Ilmu kearifan tempatan ini terdiri dari pengetahuan watan (local knowledge), kebijaksanaan serta hikmah watan (local wisdom) dan pengetahuan pribumi watan (indigenous knowledge).

Sidang Demi Malaiu menyarankan kerajaan Malaysia untuk mewujudkan peruntukan dalam bajet tahunan dan lain-lain sokongan dalam usaha mengukuhkan penyelidikan, pembangunan, pengiktirafan etno-sains perubatan Alam Melayu sebagai pelengkap kepada sains perubatan di negara sebagaimana kerajaan China mengiktiraf perubatan etno mereka dikenali sebagai sensei herba dan kerajaan India yang mengiktiraf perubatan etno mereka dikenali sebagai Ayurveda.

Etno-sains perubatan yang terpinggir dari sistem kesihatan negara perlu diberi perhatian semula kerana perubatan watan adalah bersesuaian untuk semua rakyat dalam negara ini. Malah ia saling lengkap melengkapkan sains perubatan di negara ini.

Kami yakin, Allah SWT yang Maha Pengasih dan Penyayang telah menyediakan penawar (herba sebagai contoh) untuk kebanyakan penyakit seseorang itu berdasarkan lokasi serta persekitaran alam semula jadi di rantau ini.

Terdapat lebih 30,000 pengamal perubatan etno-sains alam Melayu yang tidak dipopularkan dan terikat dengan pelbagai akta untuk tampil ke hadapan sedangkan kumpulan besar berkemahiran ini bersedia untuk saling lengkap-melengkapi perubatan moden, perubatan alternatif dan perubatan komplementari.

Sehubungan itu Sidang Demi Malaiu memohon perhatian kerajaan Malaysia untuk melihat usaha kerajaan China dan India yang mengangkat perubatan tradisional mereka untuk dipraktikkan ke negara-negara lain menerusi MoU secara sistematik.

Sidang Demi Malaiu berharap etno-sains perubatan yang bersifat watan dan memiliki potensi ekonomi dan khidmat kesihatan yang besar ini tidak harus dipinggirkan dan sebaliknya diberi keutamaan sebagai kaedah tambahan untuk kepentingan ekonomi dan kesihatan rakyat.

Datuk Paduka Dr. Supyan Hussin
Jurucakap Utama Sidang Demi Malaiu
Mantan Profesor Pengarah Institut Alam Dan Tamadun (ATMA)
Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM)

Ini adalah pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan Samudera.my

Leave a Reply

Back to top button