Pemakaian Pelitup Muka Tidak Lagi Wajib Ketika Menaiki Kapal Terbang
Jangan lupa sertai Tiktok, Youtube, Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini.
PUTRAJAYA, 29 September 2022 – Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) telah mengumumkan kelonggaran terhadap keperluan pemakaian pelitup muka ketika menaiki kapal terbang.
Menurut kenyataan, KKM memutuskan bahawa penumpang kapal terbang kini tidak diwajibkan lagi memakai pelitup muka.
Protokol baharu ini mula berkuat kuasa serta merta semalam, 28 september 2022.
KKM menjelaskan bahawa keputusan yang dibuat itu adalah menggunakan pendekatan berasaskan risiko dan beban kes COVID-19 di Malaysia yang lebih terkawal ketika ini.
Selain itu, kementerian mengambil kira penambahbaikan dalam teknologi kapal terbang seperti pengudaraan yang baik dalam kabin dan penggunaan penapis high-efficiency particulate absorbing (HEPA) untuk mengeluarkan bahan cemar bawaan udara.
Ia juga ditambah dengan mengambil kira susunan tempat duduk ke hadapan di dalam kapal terbang dan juga kekerapan penjadualan disinfeksi kapal terbang.
Kelonggaran dari KKM ini juga adalah selaras dengan syor kesihatan daripada negara-negara seperti Kesatuan Eropah, United Kingdom, Amerika Syarikat, Australia, New Zealand dan Singapura.