Krisis Makanan: Berkebun, Ternak Haiwan Sendiri – MB Perak
Jangan lupa sertai Tiktok, Youtube, Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini.
IPOH, 01 Jun 2022 – Menteri Besar Perak Datuk Seri Saarani Mohamad menyarankan agar rakyat di Negeri Perak menanam sayur-sayuran dan memelihara haiwan ternakan bagi tujuan penggunaan sendiri berikutan isu kekurangan bekalan makanan yang dihadapi buat masa ini.
Beliau berkata, langkah ini juga adalah salah satu inisiatif dalam usaha mengurangkan bebanan kos sara hidup yang kini sedang dihadapi oleh rakyat akibat kenaikan harga beberapa barangan hasil pertanian dan penternakan.
Beliau membuat saranan tersebut ketika menghadiri Program Agrofest Perbadanan Pembangunan Pertanian Negeri Perak (SADC) di The Treasure Taman Herba Gopeng pada hari semalam.
Menurutnya, beliau telah berkempen di banyak tempat mengenai praktis tanaman dan ternakan sendiri agar rakyat tidak terlalu bergantung kepada bekalan makanan dari luar dan boleh menggunakan bekalan sendiri untuk sumber makanan.
Menurutnya lagi, sekiranya terdapat lebihan bekalan daripada tanaman dan ternakan sendiri itu maka ianya boleh dijual.
Dalam usaha memperkasakan sekuriti makanan, beliau membuat kenyataan bahawa SADC akan membangunkan Projek Taman Agroteknologi Manong di sebuah kawasan yang berkeluasan 40 hektar di Kuala Kangsar dengan kerjasama Jabatan Pertanian Negeri Perak.
Selain itu juga, SADC turut memulakan projek Hab Halal Perak untuk mengukuhkan lagi sekuriti makanan dan projek ini juga turut dilihat dapat menyediakan peluang pekerjaan sekaligus dapat membantu kerajaan negeri dalam usaha meningkatkan ekonomi rakyat.