Gelombang Kenaikan Harga Barang Dijangka Berterusan Hingga 2023
Jangan lupa sertai Tiktok, Youtube, Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini.
SERI KEMBANGAN, 14 Julai 2022 – Gelombang kenaikan harga barangan termasuk makanan di Malaysia dijangka berterusan sehingga awal tahun 2023, kata Profesor Madya Dr Ahmed Razman Abdul Latiff, penganalisis ekonomi dari Putra Business School, Universiti Putra Malaysia (UPM).
Menurutnya, dapatan tersebut adalah berdasarkan jangkaan penyusutan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) dan perkembangan ekonomi global.
“Penyusutan KDNK negara itu antaranya disebabkan faktor dalaman seperti jangkaan peningkatan kenaikan Kadar Dasar Semalaman (OPR) dan ketidaktentuan politik global,” ujar beliau.
Lapor Sinar Harian, situasi penyusutan KDNK yang menyebabkan kelemahan ringgit, akan meningkatkan harga barangan khususnya makanan yang bergantung kepada bahan import.
“Kebergantungan kita kepada sesetengah barangan import akan menyebabkan kos sara hidup tinggi. Ini memberi kesan, sebagai contoh kepada makanan ayam yang terpaksa diimport. Apabila kos makanan ayam tinggi, harga ayam mentah dan telur meningkat di pasaran tempatan,” jelasnya.
Oleh hal demikian, beliau menjangkakan kadar peningkatan harga makanan terus kekal tinggi melebihi lima peratus bermula separuh kedua tahun ini.
Selain itu, pembukaan semula ekonomi di China selepas pelaksanaan ‘lockdown’ turut memberi kesan kepada peningkatan harga barangan sehingga awal tahun hadapan.
“Pembukaan semula ekonomi China dijangka bermula pada suku tahun ketiga dan keempat 2022. Apabila ini berlaku, penduduk China akan mula berbelanja. Ini akan menyebabkan harga barangan makanan kekal tinggi,” ulasnya.
Ketua Penyelidik di Institut Penyelidikan Ekonomi Malaysia (MIER), Dr Shankaran Nambiar pula mengatakan, tekanan kos sara hidup bukan sahaja melibatkan keperluan makanan asas, malah ia juga termasuk pembayaran pinjaman aset seperti rumah dan kenderaan.
Tambahnya, situasi ketidakstabilan harga barangan ini dijangka berlarutan sehingga tahun 2023 meskipun ada pihak yang optimis mengatakan ia akan kembali reda pada akhir tahun ini.