Kos Sara Hidup Tinggi: Mahasiswa Terpaksa Tahan Lapar
Jangan lupa sertai TikTok, YouTube, Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini.
PETALING JAYA, 04 Julai 2022 – Sebahagian mahasiswa terpaksa menahan lapar pada setiap malam berikutan kenaikan harga barang serta kos sara hidup yang kian meningkat.
Menurut Setiausaha Kesatuan Mahasiswa Universiti Malaya (KMUM), Ooi Guo Shen, kenaikan kos sara hidup itu mengundang keresahan pelajar apabila ada antara mereka bimbang akan yuran pengajian serta perbelanjaan harian untuk semester baharu ini.
“Risau nak naik semester baharu nanti. Sekarang hujung-hujung semester ini pun tengah berkira duit makan dan yuran.”
“Lapar, nak minta duit dekat orang tua, duit pun cukup-cukup makan saja. Setiap malam lapar, tapi tahan diri, dapat makan nasi boleh menitis air mata, rindu rumah,” demikian antara keluhan pelajar yang dikongsikan di media sosial.
Lapor FMT, seorang pelajar bernama Nur Fazlina berkata kenaikan harga barang ini cukup membebankan terutama sekali buat mereka yang bukan berasal dari keluarga senang.
Katanya, wang pinjaman yang diterima tidak mencukupi hingga memaksanya membuat kerja sambilan dan terus berjimat cermat.
“Rasa terbeban juga sekarang dengan harga makanan makin mahal, jadi walaupun sibuk dengan kuliah, cari masa juga buat kerja sambilan sebab mak ayah saya pun pendapatan tak tentu, ada duit lebih bolehlah tolong mereka,” ujar pelajar tahun tiga jurusan Sains Kemanusiaan itu.
Seorang pelajar jurusan Ekonomi sebuah universiti awam di Perak, Hamizan Abdul turut mengakui bahawa dia juga terpaksa bercatu makan sekali sahaja untuk sehari disamping memikirkan kos rumah sewa serta kos utiliti yang perlu dibayar setiap bulan.
“Bila duduk luar cukup bulan kena fikir nak bayar sewa rumah, bil api, air dan wifi. Duit untuk makan kadang-kadang habis dekat situ saja.”
“Sebab tu kadangkala kena ikat perut, makan sekali sahaja sehari sebab nak jimat,” keluhnya.
Baru-baru ini, sekumpulan 20 kesatuan pelajar memberi amaran untuk turun ke jalanan sekiranya pihak Kerajaan gagal menangani peningkatan kos sara hidup sekaligus menyenaraikan lima tuntutan terhadap pihak Kerajaan.
“Jika tuntutan-tuntutan ini tidak dipenuhi, kami akan turun ke jalan raya (untuk mengadakan protes),” kata Presiden Kesatuan Pelajar Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Aliff Naif.