Tempatan

Tengku Hassanal Rasmi Usaha Pahang Digital 2021-2025

Jangan lupa sertai TikTok, YouTube, Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini.

Jangan lupa sertai Tiktok, Youtube, Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini.

KUANTAN, 01 Jun 2022 – Kebawah Duli Yang Maha Mulia Pemangku Raja Pahang Tengku Mahkota Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Ibni Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan merasmikan Pahang Digital 2021-2025 pada Selasa lalu.

Pahang Digital merupakan perancangan lima tahun Kerajaan Negeri yang melibatkan pelbagai agensi kerajaan negeri dan Persekutuan, dan wakil industri berkaitan serta mengambil kira pandangan rakyat bagi mewujudkan ekosistem digital yang komprehensif dan saling berhubung.

Pengerusi Jawatankuasa Sains, Teknologi, Inovasi, Komunikasi dan Multimedia Negeri Pahang, YB Dato’ Haji Mohammad Fakhruddin berkata pelan digital ini dirangka untuk memberikan perkhidmatan terbaik kepada rakyat, mengoptimakan hasil negeri, menyemai budaya digital dalam kehidupan rakyat serta memastikan Pahang bersedia dari aspek digital di mata pelabur.

“Pelan ini mula dirancang untuk diwujudkan pada tahun 2020. Hasilnya empat teras telah dikenalpasti iaitu infrastruktur digital, kerajaan digital, inklusif digital dan industri digital.”

Jelasnya, pelan digital tersebut akan dilaksanakan menerusi tiga fasa iaitu Fasa Pertama pada tahun 2021 dan tahun ini 2022, Fasa Kedua tahun 2023 dan 2024, serta Fasa Terakhir pada tahun 2025.

“Sebanyak 94 solusi digital telah disenaraikan untuk diadaptasi oleh enam fokus industri iaitu perniagaan dan keusahawanan, pembinaan, pelancongan dan rekreasi, perkilangan, pendidikan dan modal insan, serta pertanian dan penternakan.”

Tambahnya lagi, beberapa inisiatif digital yang dirancang pada Fasa Pertama telahpun berjaya dilaksana seperti perlaksanaan parking digital, pembangunan aplikasi mobile PahangGo, pendigitalan urusan di agensi kerajaan serta di syarikat milik kerajaan khususnya yang melibatkan kutipan hasil secara digital.

Turut mengiringi keberangkatan baginda, YAM Tengku Panglima Raja Lt. Kol. Tengku Amir Nasser Ibrahim Shah Ibni Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan YAM Tengku Arif Bendahara Tengku Muhammad Iskandar Ri’ayatuddin Shah Ibni Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

Turut hadir, YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail; YB Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Sri Dr. Salehuddin Ishak dan Pengerusi Jawatankuasa Sains, Teknologi, Inovasi, Komunikasi dan Multimedia Negeri Pahang, YB. Dato’ Haji Mohammad Fakhruddin Mohd Ariff dan Barisan EXCO Kerajaan Pahang.

Leave a Reply

Back to top button
%d bloggers like this: